Datuk Seri Siti Nurhaliza, berhasrat untuk melawat sekolah kanak-kanak Afwa Al-Afiyah di Gaza, Palestin yang dibangunkannya menerusi Yayasan Nurjiwa sejak 5 Oktober 2021. Penyanyi berusia 44 tahun itu bagaimanapun berkata, dalam keadaan sekarang ia tidak mudah berbuat demikian kerana kawasan Gaza masih bergolak dan berisiko tinggi untuk keselamatan.
"Alhamdulillah, buat masa ini sekolah kanak-kanak Afwa Al-Afiyah mempunyai lebih 50 orang pelajar yang kami sediakan segala keperluan pembelajaran peringkat awal untuk mereka dalam bidang al-Quran dan akademik, termasuk akhlak, adab dan sebagainya. "Kami juga menyediakan serta memastikan infrastruktur pendidikan dan pembelajaran dalam keadaan yang baik dan mencukupi kerana ramai kanak-kanak di Gaza itu mempunyai impian ingin menimba ilmu di sekolah. Cuma, situasi keselamatan mereka masih berhadapan peperangan," katanya kepada Harian Metro.
Siti berkata, walaupun masih belum berkesempatan mengadakan lawatan ke Gaza, namun beliau sentiasa mengikuti perkembangan pelajar dan guru di sekolah itu, termasuk segala keperluan dan kelengkapan diperlukan. "Pihak Yayasan Nurjiwa ada wakil khas di Gaza yang diberi kepercayaan untuk menguruskan sekolah, guru, pelajar, termasuk kemudahan makanan dan minuman disediakan pada waktu persekolahan. "Kami memang berhasrat mahu memberi peluang kepada kanak-kanak Palestin ini mendapat pendidikan awal dalam bangunan sekolah lebih selesa yang disediakan," katanya.
|
ADVERTISEMENT