Lengan kanan seorang lelaki hampir putus selepas diterkam kuda belang peliharaannya. Kejadian itu menyebabkan polis terpaksa menembak haiwan berkenaan sehingga mati Ahad lalu.
Daily Mail semalam melaporkan, serangan ngeri itu berlaku sekitar pukul 5.30 petang (waktu tempatan) di Circleville, Ohio dengan penolong-penolong syerif daerah Pickaway bertindak balas terhadap kejadian itu. Difahamkan, Ronald Clifton merupakan pemilik haiwan itu dan ia bertindak sedemikian bagi melindungi enam ekor kuda belang betina. “Saya rasa ia mengoyakkan lengan saya,” kata Clifton, 72, ketika memberitahu operator talian kecemasan sebelum anggota yang bertindak balas dengan panggilan tersebut tiba di lokasi kejadian. Rakaman kamera badan menunjukkan Clifton terbaring di atas tanah dengan kesakitan di sebuah padang yang berpagar sebelum dibawa ke sebuah hospital untuk mendapatkan rawatan.
Kuda belang jantan besar itu terus bertindak agresif selepas ketibaan penolong-penolong syerif, yang menyebabkan seorang pegawai menembak haiwan itu. Menurut polis, ia adalah tindakan yang perlu dilakukan. Tidak dapat dipastikan apa yang menyebabkan tingkah laku agresif haiwan itu tetapi pegawai berkata, ia mungkin cuba melindungi beberapa betina kuda belang betina yang berada di padang sama. Sumber: Kosmo
|
ADVERTISEMENT