Gelagat anak kepada pelakon Betty Rahmad iaitu Ardy Wira yang memohon maaf kepada pendakwah Habib Ali mencuit hati netizen. Betty atau Nursha Rahmad, 41, berkata, Wira meminta maaf kepada Habib kerana kanak-kanak itu pernah secara tidak sengaja mengigit jari pendakwah berkenaan ketika melakukan proses tahnik.
Kesempatan bertemu Habib di sebuah majlis agama Khamis lalu memberi peluang kepada anaknya meminta maaf. "Sebelum ini kami pernah tunjuk video lama dia tahnik dengan Habib Ali, dia gigit jari Habib. "Kebetulan masa kita pergi Tawfiq Khamis lepas, Habib ada dan Wira cakap nak jumpa Habib minta maaf," katanya. Betty berkongsi perkara itu menerusi sebuah video yang dimuat naik di aplikasi TikTok miliknya. Dalam pada itu, Betty memberitahu Wira bersungguh-sungguh mahu bertemu Habib sehingga sanggup menunggu untuk berjumpa dengan pendakwah itu.
"Sampai habis majlis dia tetap tunggu tak nak balik selagi tak jumpa Habib. Dia ingat senang kot nak jumpa. "Kami pun layankan dan Daddy bawa dia tunggu. Alhamdulillah rezeki Wira Allah izinkan dia jumpa Habib. Bila jumpa terus 'jem' nak cakap Melayu," ujarnya. Sementara itu, menerusi video berkenaan, Wira dilihat begitu teruja berjumpa dengan Habib sehinggakan dia kelu untuk berkata-kata. Anak kecil itu menyapa dengan memberi salam dan seterusnya meminta maaf serta menerangkan bahawa dia pernah menggigit jari pendakwah itu ketika masih bayi. "Excuse me ustaz, maaf ustaz. Sekarang saya lupa apa yang perlu saya cakap. Kalau saya cakap bahasa Inggeris ustaz boleh faham tak? "Maaf ustaz, masa saya bayi saya tak sengaja menggigit jari ustaz," katanya. Menjengah di ruangan komen, rata-rata peminat memuji sikap yang dimiliki anak berusia empat tahun itu dan mendoakan agar Wira terus menjadi anak yang soleh. Sumber: mStar
|
ADVERTISEMENT