Kegembiraan budak lelaki berusia 12 tahun bermain berhampiran kawasan rumah bertukar tragedi apabila maut digilis kereta api elektrik (KRL) Commuter Line arah Parung Panjang-Tigaraksa pada Isnin.
Kejadian berlaku di rel kereta api Kampung Lebak Panas, Desa Daru, Kecamatan Jambe, daerah Tangerang, Banten, Indonesia. “Ya, betul kejadian sekitar pukul 7 pagi WIB (8 pagi waktu Malaysia), di laluan rel Parung Panjang-Tigaraksa Kilometer 52/4,” kata Ketua Polis Tigaraksa AKP Agus Ahmad dalam kenyataan bertulis pada Isnin. Menurutnya, sebelum kejadian malang itu, mangsa sedang asyik bermain di tepi rel tidak jauh dari rumahnya.
Apabila ibu bapanya memanggil namanya untuk memintanya pulang, budak lelaki itu terus berlari tanpa menoleh ke kanan dan kiri sehingga tersadung serta terjatuh di tepi landasan kereta api. "Dalam masa sama, ketika mangsa terjatuh ada kereta api sedang lalu dengan nombor KA 1980 menghala ke Parung Panjang-Tigaraksa menyebabkan dia dilanggar kereta api itu. Mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian," jelas Ahmad. Jelasnya, kawasan rel tempat mangsa melintas berdekatan dengan penempatan penduduk. Mayat mangsa kemudian dipindahkan anggota Polis Tigaraksa bersama pegawai KAI dan penduduk setempat. Sumber: Majoriti
|
ADVERTISEMENT