Kisah kanak-kanak lelaki ditemukan lemas dalam kolam renang sebuah hotel di Johor pada minggu lalu, hangat diperkatakan netizen.
Dalam kejadian itu, mangsa dikenali sebagai Adam, 8, berjaya diselamatkan orang awam sebelum dia dibawa ke sebuah hospital berdekatan untuk rawatan lanjut. "Kejadian depan mata. Dah lima minit adik ni terapung, terlungkup dalam kolam. Ayah dia pergi ke toilet je kejap. Angkat-angkat je dari kolam, muka dan bibir dan kebiruan.
"Hampir 15 minit isteri saya Hadzlina Abd Jalil buat bantuan pernafasan kecemasan (CPR) pada adik Adam ni. Allahuakbar. Allah panjangkan umur adik Adam ni. "Dia mula sedar dan bantuan ambulans sampai 10 minit kemudian," tulis saksi kejadian, Mohd Shazley Said, 39 di Facebook miliknya. Ketika dihubungi mStar, dia yang senang disapa Shaz mengimbas kembali kejadian berlaku ketika mereka sekeluarga sedang beriadah dalam kolam di hotel berkenaan. "Saya bercuti dan ada meeting di hotel itu. Kejadian berlaku kira-kira 10 pagi, Rabu minggu lalu. Kami sekeluarga mandi bersama anak-anak serta anak saudara. Kita fokus anak kita, tak perasan anak orang lain. "Anak saya mandi dalam kolam cetek. Di sebelahnya pula ada kolam dewasa. Ketika berenang, kami terdengar ada orang lemas. Saya terus panggil anak-anak naik ke atas. Pada masa sama, saya nampak sebelah kolam dalam tu, ada orang dah angkat budak tadi. "Dia bukan lemas terkapai-kapai, tapi dah terlungkup, terapung dalam kolam. Waktu naik tu dah biru. Lelaki yang angkat mangsa terus buat CPR, bergilir-gilir buat CPR dengan isteri saya dalam 15 minit. Saya pula ke lobi mendapatkan bantuan ambulans," katanya. Menurut Shaz, dia bersyukur apabila kanak-kanak itu berjaya diselamatkan, malah menganggap kejadian itu sebagai peringatan bersama buat ibu bapa di luar sana. "Dalam 10 minit, ambulans sampai. Masa tengah CPR, dia tak ada reaksi. Tapi kita dengar nafas dia bila tekan dada. Bila dia mula menangis, Alhamdulillah kita rasa lega. Kejadian tu dalam 15 minit je. "Bapanya naik ke bilik hotel untuk ke tandas dalam lima minit. Bapanya naik ke bilik di tingkat sembilan, kolam renang hotel pula di tingkat tujuh. Jengah beranda tengok anak dah terlungkup, tak bergerak. Saya difahamkan ibu mangsa pakai kerusi roda, bapanya nak hantar ibunya ke tandas. "Ini pengalaman depan mata buat kami. Bagi saya, pihak hotel sepatutnya sediakan penjaga kolam. Pada masa sama, mak ayah juga kena pantau anak-anak. Ilmu CPR juga penting," ujarnya. Menurut Shaz, dia juga berhubung dengan keluarga mangsa yang menitipkan ucapan terima kasih atas bantuan yang diberikan. "Selang beberapa hari bila dah viral, kami contact dengan mak dia. Mak dia juga hantar video kepada kami. Anaknya dah okey, tiga hari di hospital. Dia juga hantar voice note Adam kepada kami. Rasa sebak dengan kejadian tu," tambahnya lagi. Untuk rekod, Shaz bertugas di Jabatan Arah Rekod dan Pencen (JRP), manakala isterinya berkhidmat di di Hospital Angkatan Tentera (HAT) Tuanku Mizan dalam Kor Kesihatan Diraja sejak 19 tahun lalu. Pasangan tentera yang menetap dan bekerja di Kuala Lumpur itu mempunyai lima cahaya mata dan baru sahaja meraikan ulang tahun perkahwinan kelapan pada Ahad lalu. "Ia juga boleh dikatakan rezeki kami dapat menyelamatkan nyawa adik Adam dan hadiah perkahwinan kami pada 25 Disember kerana dapat membantu menyelamatkan nyawa," ujarnyai. Sumber: mStar
|
ADVERTISEMENT