Shaheizy Sam merasakan bayaran diterima bagi pembabitannya dalam filem aksi ketenteraan, Malbatt Misi Bakara tidak keterlaluan dan bersesuaian dengan usaha kerasnya bagi menjayakan naskah tersebut.
Menurut Sam, bayaran berkenaan bukan hanya tertumpu kepada kualiti lakonannya semata-mata tetapi turut melibatkan persediaan daripada aspek fizikal dan mental. “Saya tidak merasakan bayaran saya ini mahal cuma berdasarkan pengalaman berlakon sejak sekian lama dan usaha 110 peratus saya yang pihak produksi pun dah tahu, rasanya berbaloi dengan harga. “Nak kata saya demand, tidaklah saya nak minta sampai RM500,000 untuk sebuah filem. Bagi saya, ia kena berbaloi dengan hasil kerja saya.
“Bila pihak produksi perlukan saya untuk membina badan yang segak, ada kosnya untuk saya dapatkan bentuk badan sebegitu. Badan segak ini bukan hanya sekadar latihan di gim sahaja tetapi pemakanan juga kena jaga.
“Banyak aspek yang harus diambil kira. Wang tersebut bukan hanya untuk kerja kreatif sahaja tetapi turut merangkumi persediaan saya secara keseluruhan,” katanya kepada MH. Dalam pada itu, suami kepada pelakon Syatilla Melvin ini turut mendedahkan dirinya juga berdepan cabaran yang agak berat untuk menurunkan berat badannya kali ini. “Bila dua tahun berehat, asyik duduk rumah dan makan pun tak ingat dunia, saya terpaksa latih diri secara ‘all out’ sebaik sahaja saya tanda tangani kontrak dan diberikan skrip.
“Sejujurnya, bila hampir menjangkau usia 40-an ini, saya rasa usaha untuk mendapatkan badan segak ini dan jadi dua kali ganda. Masa buat filem Polis Evo dulu, bagi saya masa 20 hari atau sebulan, semuanya akan selesai. “Tapi kali ini agak sukar kerana mungkin metabolisme saya dah berubah. Kali ini nak turunkan berat badan tu, rasanya lambat sangat. “Jadi, saya putuskan untuk kekalkan berat badan seperti ini kerana kalau naik lagi, saya tak tahu sama ada saya mampu turun lagi atau tidak,” ujarnya lagi.
Pada masa sama, Sam akui watak Kopral Ramlee sedikit sebanyak membari kesan mendalam buat dirinya lebih-lebih lagi bila mengenangkan perjuangan tentera Malaysia yang bertarung nyawa demi menjaga keamanan dunia. “Sebelum ini, mungkin kita tak pernah tahu kisah sebenar yang terjadi kepada askar kita di Somalia pada tahun 1993. Kita hanya nampak kisahnya daripada filem Black Hawk Down. Orang Hollywood sudah tentu mahu menggambarkan mereka ini seperti hero sebenar. “Bila saya letakkan diri saya dalam watak ini, saya sendiri tak dapat bayangkan macam mana kalau benar-benar saya berada disituasi itu. “Watak Kopral Ramlee ini merupakan watak sebenar yang difiksyenkan. Apa yang dilalui oleh Kopral Ramlee ini amat mengerikan. Beliau adalah antara perjuang yang hebat dalam misi ini,” akhirinya. Terdahulu, filem arahan Adrian Teh ini dijangka bakal ditayangkan pada Bulan Kemerdekaan tahun hadapan. Selain Sam, filem aksi tersebut turut dibintangi Hairul Azreen, Adlin Aman Ramlie, Bront Palare, Zahiril Adzim, Iedil Dzuhrie, Syazwan Zulkifly, Gambit Saifullah, Dafi Ismail Sabri, Safwan Nazri, Nafiez Zaidi, Taufiq Hanafi dan Theebaan G. Sumber: Media Hiburan
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|