Azrel Ismail, 38, semestinya tidak asing dalam industri hiburan tempatan. Apatah lagi, selain aktif dalam kerjaya lakonan, dia juga terbabit di pentas peragaan.
Bagaimanapun, sejak kebelakangan ini semakin jarang kisah Azrel dipaparkan media, namun dia lebih banyak berkongsi aktiviti-aktivitinya di media sosial sekiranya tiada penggambaran. Bersua dengannya baru-baru ini, Azrel berkata, karier lakonannya masih rancak dan bersinar lagi. Dia tetap mendapat tawaran berlakon sebagai watak utama atau 'hero kedua' daripada pihak produksi. "Untuk watak, saya okey saja sekiranya ia sesuai dengan diri. Saya tidak terlalu cerewet sebab pada saya setiap watak yang akan dibawakan itu mempunyai kisahnya yang tersendiri. Setakat ini, saya bersyukur dengan watak-watak diterima.
"Bahkan, apabila sudah dapat mengaktifkan karier seni semula, saya amat teruja dan 'happy' kembali ke lokasi penggambaran untuk mengubat rindu yang begitu menebal. "Maklumlah, sejak Covid-19 melanda selama dua tahun ini, masa saya banyak dihabiskan di rumah akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan tak boleh keluar bekerja. Kerja-kerja penggambaran ditangguhkan dalam tempoh lama dan masa saya di rumah lebih diisi dengan mengemaskini media sosial.
Secara tidak langsung, saya agak aktif di Instagram dan TikTok," katanya. Menurut Azrel, dia juga dilihat seakan 'menyepi' kerana sudah lama tidak bertemu media dan hadir di majlis hiburan. Ditambah lagi, dia juga sekarang tidak terpalit dengan gosip cinta bersama rakan pelakon wanita lain seperti sebelum ini. Mengulas juga kemunculan pelakon lelaki baharu yang agak ramai kini, Azrel berkata, dia melihat positif untuk situasi itu dan sama sekali tidak berasa tergugat.
Katanya, kehadiran pelakon baharu itu adalah lumrah industri hiburan. "Tiada yang lama, maka tiada juga yang baharu. Saya okey saja dengan kehadiran ramai bakat muda dalam bidang lakonan yang kini dipilih menjadi 'hero' drama. Itu sudah rezeki mereka dan kita teruskan sokongan. "Saya juga pernah berada di tempat pelakon baharu dulu, jadi dah tentulah sudah merasai pengalaman yang mereka lalui sekarang. Justeru, ia perkara yang normal dan boleh dikatakan roda kehidupan.
"Apapun, saya tidak rasa diri sudah 'jatuh' serta tawaran berlakon semakin kurang. Pada saya, kalau kita rajin bekerja dan tiada masalah dengan orang lain, rezeki itu pasti ada. Cuma, tak perlu ada sifat iri hati pada rezeki orang," katanya. Azrel berkata, dia amat bersyukur kerana jadual kerjanya sudah padat dengan penggambaran sehingga November nanti.
Katanya, dia juga kini dalam proses meneliti beberapa tawaran berlakon lain dan akan sibuk sehingga tahun depan. -CARI Sumber: Harian Metro
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|