Pelakon Nadhir Nasar, 25, bersikap selektif dalam memilih naskhah drama bukan disebabkan sudah 'besar kepala', sebaliknya, mahu nama kekal lama dalam industri lakonan.
Pelakon baharu yang menjadi sebutan selepas watak Syafiq Hambali dalam drama bersiri, i-Tanggang : Mother Of All Lies menjadi bualan itu berkata, dia tidak berniat 'main-main' apabila mengambil keputusan menceburi bidang lakonan sejak dua tahun lalu. Bagaimanapun, Nadhir menafikan bersikap besar kepala apabila hanya memilih naskhah dimahukan sahaja sejak namanya menjadi perhatian ramai. "Saya bukan mengejar karya yang bagus atau hanya ingin bekerja dengan produksi tertentu. Sebenarnya, saya tidak kisah menerima tawaran daripada mana-mana produksi, tetapi biarlah karya berkualiti dan kena dengan jiwa.
"Saya tidak mahu dilihat sekadar 'main-main' dalam industri, jadi apabila menerima tawaran, saya tidak mahu buat sekadar asal boleh. Sebaliknya, saya perlu ada 'hati' terhadap naskhah yang ingin dijayakan. "Jika naskhah tidak kena dengan jiwa, saya akan menolaknya," katanya kepada BH Online.
Pernah membolosi pencalonan bagi kategori Artis Baharu Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular (BH) ABPBH 34, Nadhir berharap keputusannya menolak sesetengah naskhah tidak salah erti. Nadhir atau nama sebenarnya, Ahmad Nadhir Ahmad Nasar berkata, ada masanya terpaksa menolak tawaran diberikan kerana tidak yakin mampu membawakan watak, selain merasakan ada pelakon lain yang lebih layak berbanding dirinya. Selain itu, jejaka yang dilahirkan di Michigan, Amerika Syarikat berkata, dia juga bimbang mengecewakan syarikat produksi andai tidak berjaya membawa watak diberikan seperti dikehendaki pengarah.
"Saya bukan sesiapa, malah saya juga sedar diri ini baru hendak merangkak dalam industri seni. Bukan banyak pun tawaran ditolak. Ada yang ditolak kerana saya sendiri kurang yakin membawakan watak diberikan. "Macam dikatakan, saya tidak kisah berlakon dengan sesiapapun. Bukan bermakna saya kena bawa watak jahat dan mendalam sahaja. Asalkan watak bersesuaian, saya tiada masalah untuk melakonkannya," kata Nadhir yang mula dikenali melalui drama Projek: Anchor SPM. Sementara itu, Nadhir menafikan dirinya anak emas kepada stesen Astro apabila sering dilihat menghiasi drama disiarkan di stesen berkenaan.
Katanya, dia menerima banyak tawaran untuk saluran berkenaan, namun, tidak juga menolak tawaran drama stesen TV lain. "Saya akui, kebanyakan drama saya ditayangkan di Astro, begitu juga dua drama yang bakal ditayangkan tidak lama lagi.
"Namun, saya ada juga membintangi drama siaran RTM. Apa yang boleh dikatakan, ini semua rezeki. "Tambahan pula, saya dicungkil menerusi pertandingan pencarian bakat Hero Remaja yang juga diterbitkan stesen berkenaan. Bagaimanapun, saya sentiasa amalkan bersikap baik dengan sesiapa sahaja," katanya. -CARI Sumber: Berita Harian
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|