Tasha Manshar memberitahu tidak merancang untuk kembali ke dunia seni suara dan selesa dengan kerjaya semasa iaitu sebagai seorang guru.
Kata Tasha, keputusan yang diambil sejak enam tahun lalu itu bukan kerana kemahuan suami yang juga bekas penyampai radio Zayan Raqib Majid, sebaliknya atas kehendak dirinya sendiri. “Menyanyi saya anggap sebagai hobi. Pada awal pembabitan pun, saya tidak pernah terfikir untuk menjadikan bidang nyanyian sebagai kerjaya. Buat pun sekadar suka-suka. “Sampai satu tahap saya rasa sudah puas. Jadi ambil keputusan untuk berhenti. Tetapi ketika ini saya masih lagi mengajar,” katanya.
Tasha ditemui wartawan ketika hadir ke Majlis Apresiasi Usahawan Pelesenan Kumpulan Megaklinik Zahran yang berlangsung di hotel Grand Hyatt, Kuala Lumpur.
Ibu dua orang cahaya mata ini ditemani suaminya, Raqib. Dalam masa yang sama Tasha dan Raqib turut berkongsi tentang penglibatan mereka untuk menguasahakan cawangan Megaklinik Zahran yang akan bermula sekitar tahun ini. Kata pasangan suami isteri itu, keputusan untuk memulakan perniagaan dalam bidang tersebut bukan dibuat semalaman. Sebaliknya melibatkan proses perbincangan yang agak lama.
“Ramai yang bertanya kepada kami, kenapa pilih bisnes ini? Kenapa bukan perniagaan makanan atau lain-lain? “Bagi kami, perniagaan ini akan membantu ramai orang. Kita semua tahu betapa penting rawatan kesihatan dan ubat-ubatan. “Pada masa yang sama, sebagai pemilik (perniagaan), kami terpanggil kerana adanya program keusahawanan selama satu tahun yang dibimbing sendiri Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Megaklinik Zahran, Datuk Mohd Nafidz Abd Razak. Jadi, kami merasakan ini satu inisiatif yang sangat bagus,” kata Raqib.
Selain itu, apabila disoal rahsia kebahagiaan rumah tangga, pasangan ini tidak menafikan bahawa toleransi dan persefahaman adalah kunci segalanya. “Sebagai suami isteri, tak perlu cari kekurangan atau keburukan pasangan. Yang penting saling memahami dan melengkapi. “Sebagai individu kita ada perbezaan. Yang penting kena usaha untuk mencari titik penyatuan daripada perbezaan itu.
Untuk rekod, Tasha dan Raqib disatukan sebagai suami isteri sekitar empat tahun lalu. -CARI Sumber: Utusan Online
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|