Penyanyi rap, Zamaera mendedikasikan lagu 'Gelek, khas buat usahawan selebriti Datuk Seri Vida, sebagai penghormatan buat wanita yang dianggap sebagai idolanya itu.
Kata Zamaera, dendangan yang dimuatkan dalam albumnya, Heart Break To Heal tersebut merupakan luahan rasa kagum terhadap pencapaian dan ketabahan wanita tersebut dalam mengharungi kehidupan. “Saya memang suka dengan Datuk Seri Vida sebab dia punya karaktor yang kuat, unik, berkarisma dan tidak ambil peduli kecaman orang sebaliknya turut memberi inspirasi kepada wanita lain.
“Melihat kejayaan yang diraih dengan hasil keringat sendiri dan pada masa sama masih kuat berdepan cabaran hidup serta turut menjadi bahan kecaman, lagu Gelek memang bertepatan untuknya. “Santunan seni kata yang saya gubah sendiri dalam karya tersebut menggambarkan kekuatan dalaman kaum Hawa untuk hidup berdikari dan membina empayar. “Jika suatu hari nanti dapat berkolaborasi dengannya juga saya akan berbesar hati. Kalau boleh memang saya nak bekerjasama dengan ramai wanita hebat dan mengambil inspirasi daripada mereka,” katanya pada sesi pelancaran album ‘mixtape’ itu. Zamaera mengakui mengambil masa lapan bulan menyempurnakan projek tersebut supaya bertepatan cita rasanya bermula dengan fasa menulis lagu disusuli kerja rakaman dan adunan muzik. Selain Gelek, Zamaera atau nama sebenarnya, Sharifah Zamaera Al Edros Syed Zafilen tampil dengan 10 lagi dendangan termasuk enam buah lagu berbahasa Inggeris serta ‘interlude’. Katanya, 'Heart Break To Heal’ itu adalah kronologi perjalanan hidupnya yang diterjemah ke dalam album membabitkan fasa dilamun cinta, kehilangan, murung dan kemudian mampu bangkit semula sebagai insan baharu penuh semangat. “Lagu Jaga Diri merupakan trek luahan ketika putus cinta di mana saya melalui fasa yang teruk sehingga menangisi nasib dan terpaksa berjumpa pakar terapi untuk memulihkan semangat. “Namun, akhirnya dengan sokongan insan sekeliling saya semakin positif dalam mendepani cabaran selain berharap orang yang pernah hadir dalam hidup saya juga jaga diri,” katanya lagi. Penyanyi dan komposer yang aktif sejak berusia 17 tahun tampil bersama lagu solo berjudul Wanita sekitar 2017 dan kemudian terus dikenali menerusi Helly Kelly yang menjuarai carta Hitz FM selama enam minggu. Sumber: K! ONLINE
|
ADVERTISEMENT