Baby Shima tidak kisah dicop ‘ratu report polis’ andai tindakan tegas yang diambil terhadap lelaki gila seks dapat menjadi pengajaran supaya jangan memandang remeh kes gangguan seksual.
Katanya, individu yang tergamak melayangkan ajakan berbaur lucah kepada orang lain di laman sosial seharusnya belajar menghormati wanita sebelum membuat perkara melampau yang boleh mengheret mereka ke muka pengadilan. “Negara kita ada undang-undang, bukan setakat minta maaf lepas buat gangguan melampau sebab setiap tulisan atau gambar tak senonoh yang ditujukan kepada seseorang secara maya tetap mencetuskan impak.
“Cuma saya terfikir kali ini nak kongsi perkara meloyakan itu sebagai peringatan. Selepas dikongsi individu tersebut ada DM (mesej langsung) saya untuk minta maaf tapi saya serahkan kepada pihak pengurusan dan peguam untuk tindakan selanjutnya. “Dulu selepas buat laporan polis memang tiada lagi gangguan. Rupa-rupanya masih ada lagi spesis begini. Saya pun dah tak kisah orang nak cakap apa, ratu repot (polis) atau apa pun sebab saya kena bertegas demi wanita atau mangsa lain. Saya tak mahu mangsa pula dipersalahkan. “Macam sebelum ini, kita tak repot dikecam juga atau dikata mahu gertak saja. Tindakan ini jadi pengajaran supaya hormati insan lain. Anda pun ada ibu, kakak atau adik perempuan. Kalau mereka dikacau, takkan anda diam diri?” katanya kepada Kosmo! Online.
|
Bekas finalis program D’Academy Asia dan Pendatang Baru Dangdut Terpopular, Anugerah Dangdut Indonesia 2017 itu mengakui tidak pernah berhadapan isu sama daripada peminat di negara itu sepanjang lima tahun mencari rezeki di sana.
ADVERTISEMENT