Seorang pempengaruh (influencer) TikTok di San Francisco yang bermula dengan satu pin rambut pada Mei 2020, berjaya memperoleh sebuah rumah di Tennessee setelah 28 kali pertukaran selama satu setengah tahun di laman pengiklanan Craigslist, lapor United Press International (UPI) semalam.
Demi Skipper, 30, memulakan kempen ‘Trade Me Project’nya di TikTok setelah mendapat inspirasi daripada Kyle McDonald yang melaksanakan projek serupa pada 2006 dan berjaya mendapat sebuah rumah setelah bermula dengan klip kertas berwarna merah. Skipper berkata, beberapa pengikutnya mula hilang kepercayaan apabila dia menukar tiga buah trektar dengan satu kad Chipotle iaitu kad yang diberi kepada selebriti-selebriti untuk menerima ‘burritos’ percuma selama setahun. Bagaimanapun, dia berjaya menukar kembali kad tersebut kepada sebuah treler berkuasa solar berharga AS$40,000 (RM 168,200) dan kemudian dijual untuk mendapatkan rumah di Montgomery. "Ia sangat nyata. Setelah berusaha selama satu setengah tahun dan berjaya, saya berfikir adalah perkara ini nyata? Adakah rumah itu milik saya?" jelas Skipper kepada agensi berita NBC News. Skipper dan suaminya merancang untuk berpindah pada Januari akan datang untuk mengubah suai rumah mereka. Dia malah enggan mengakhiri projeknya dan merancang untuk melakukannya sekali lagi. "Saya mahu beri rumah seterusnya kepada yang memerlukan tanpa meletakkan gadaian dan sewaan. Ramai yang melakukan projek ini sebelum ini, tetapi tiada yang melakukannya dua kali," katanya. Sumber: Kosmo
|
ADVERTISEMENT