Kehadiran cucu Perdana Menteri, Jeanelle Nika Mandagie ketika menemani datuknya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ke majlis Sambutan Hari Kanak-Kanak Sedunia 2021 di bangunan Parlimen semalam telah mencuri tumpuan ramai.
Jeanelle, 4, yang merupakan anak sulung kepada pasangan pereka fesyen ternama, Datuk Jovian Mandagie dan Datin Nina Sabrina Ismail dilihat tidak kekok menyusun langkah meskipun gerak-gerinya sentiasa dirakamkan kamera ketika dipimpin datuknya pada majlis itu.
Walaupun banyak mata memerhati, Jeanelle kelihatan bersahaja dan berjalan penuh yakin persis model cilik meniti pentas peragaan. Malah Jeanelle dilihat begitu manja terutama ketika berada disamping Ismail Sabri.
Menerusi perkongsian di Instagram Ismail Sabri, rata-rata pengguna media sosial memuji kecomelan Jeanelle selain menyifatkan kanak-kanak itu sebagai bijak, lapor Kosmo.
Terdahulu, Ismail Sabri menghadiri sambutan Hari Kanak-Kanak Sedunia yang turut disertai oleh cucunya.
Dalam ucapannya, Ismail Sabri berkata, kanak-kanak amat berharga di hatinya kerana mereka merupakan anugerah tuhan yang amat bererti.
“Saya percaya, adalah tidak memadai jika kita hanya memperuntukkan satu hari dalam setahun untuk memperingati hak dan keperluan yang sepatutnya dinikmati mereka,” katanya.
Perdana Menteri turut menyeru Keluarga Malaysia supaya lebih berusaha untuk melindungi kanak-kanak kerana mereka bakal menjadi pemimpin yang hebat pada masa akan datang.
“Setiap kanak-kanak mempunyai hak asasi untuk mendapatkan pendidikan dan membesar dalam suasana yang kondusif agar mereka mampu menjadi individu yang boleh mencapai potensi penuh serta mengejar impian mereka,” katanya.
Melalui tinjauan di Instagram PM dan anaknya Datin Nina, banyak gambar dan video terdahulu memaparkan keakraban Datuk Seri Ismail Sabri dengan cucunya. Ismail Sabri juga dilihat sangat penyayang dan "sporting" dengan anak-anak dan cucunya. - CARI