Vaksin berkesan dan diberi tanpa menggunakan jarum suntikan. Demikian sasaran penyelidik yang melipatgandakan usaha sejak pandemik COVID-19, bagi mencipta penampal yang mampu memasukkan ubat melalui kulit tanpa rasa sakit, untuk menyelamatkan nyawa.
Pembangunan teknik berupaya merevolusikan perubatan itu boleh mengelakkan kanak-kanak daripada menangis kesakitan akibat disuntik, selain membantu golongan yang fobia terhadap jarum suntikan. Malah, penampal pada kulit juga dapat memudahkan lagi pengedarannya kerana tidak perlu disimpan dalam suhu sejuk, di samping berkemungkinan mempertingkatkan keberkesanan vaksin.
Kajian dilakukan terhadap tikus makmal, yang diterbitkan dalam jurnal Science Advances, berjaya mencatat hasil memberangsangkan, lapor AFP. Dalam usaha itu, pasukan penyelidik Australia-Amerika Syarikat (AS) terbabit menggunakan penampal berukuran satu sentimeter persegi yang mengandungi lebih 5,000 'pepaku' mikroskopik bersalut vaksin percubaan. "Pepaku mikroskopik itu begitu halus sehingga anda tidak akan dapat melihatnya," kata pakar virologi di University of Queensland yang juga pengarang bersama kertas kajian terbabit, David Muller kepada AFP. Penyelidik menggunakan suatu dipanggil vaksin 'subunit' yang menghasilkan semula 'pepaku' pada permukaan coronavirus. Tikus makmal diberi vaksin itu sama ada melalui penampal berkenaan selama dua minit ataupun menggunakan picagari. Sistem imun pada tikus diberi penampal terbabit didapati menghasilkan paras antibodi peneutral yang tinggi selepas menerima dua dos, termasuk dalam paru-paru yang penting untuk menghentikan COVID-19. Selain itu, pencapaian menggunakan penampal berkenaan juga mengatasi hasil suntikan picagari. "Penyelidik turut mendapati sebuah subkumpulan tikus makmal yang diberi hanya satu dos vaksin mengandungi bahan tambahan dikenali sebagai 'adjuvant' bagi merangsang tindak balas imun, tidak jatuh sakit langsung," kata Muller. Sumber: BH Online
|
ADVERTISEMENT