Usahawan lapor polis Fizz gagal lunas hutang Kuala Lumpur: “Nampaknya saya terpaksa membuat laporan polis dan mendedahkan perangai dia pada media sebab dah lama saya bertolak-ansur. Tapi, dia memberi alasan dan mengelak daripada melunaskan hutangnya.” Demikian luahan seorang usahawan dikenali sebagai Linda, 36, yang kesal dengan sikap lepas tangan pelakon popular, Fizz Fairuz kerana gagal membayar semula wang berjumlah RM15,000 yang dipinjam pada Oktober tahun lalu. Linda berkata, keputusan membuat laporan polis dan mendedahkan perkara itu adalah jalan terakhir untuk mendapatkan semula wangnya selepas pelbagai usaha dan rundingan dibuat dengan pelakon filem Mat Tudung itu menemui kegagalan. “Bagi saya mudah saja, tak perlu ubah-ubah cakap dan canang itu dan ini di merata tempat. Sekarang, bayar saja semula hutang saya. “Dia berjanji untuk bayar semula antara April hingga Jun lalu, tapi hingga kini, dia mendiamkan diri dan mengelak. “Saya sudah bagi peluang kepadanya secara baik tapi nampaknya dia yang nak perkara ini dibesarkan,” katanya ketika dihubungi di sini, petang semalam. Difahamkan, Fizz meminjam RM15,000 daripada Linda akhir Oktober tahun lalu dengan alasan membuat pengubahsuaian rumah ibunya di Pahang. Atas hubungan persahabatan dan memahami kesempitan wang dihadapi Fizz, Linda bersetuju meminjamkan wang itu. Suami kepada pelakon Almy Nadia itu berjanji membayar semula wang Linda April hingga Jun lalu selepas dia menerima bayarannya sebagai pengajar di Akademi Fantasia 2013, namun sehingga minggu lalu Fizz berdiam diri. Minggu lalu, Fizz menerusi pesanan mesej kepada Linda mendakwa dia sudah memulangkan semua duit itu kepada pihak ketiga yang juga rakan Linda dan tidak mahu diganggu lagi. Linda yang masih tidak menerima wang dijanjikan itu mengesyaki satu pakatan berlaku antara Fizz dengan pihak ketiga, sekali gus membuat laporan di Balai Polis Wangsa Maju, di sini, Ahad lalu. Difahamkan juga, Linda yang juga seorang usahawan terkenal sering membantu golongan artis yang kesempitan wang, namun tidak pernah menghadapi masalah mendapatkan semula wangnya kecuali daripada Fizz. Katanya, sikap pelakon itu yang mendiamkan diri dan sukar dihubungi menimbulkan syak wasangka kepadanya untuk membawa perkara itu ke tengah. “Sebenarnya saya pun tak nak kecoh hal ini sebab niat ketika itu membantu dia ubah suai rumah emaknya. Tapi, bila jadi macam ini, saya terkilan dengan sikapnya. “Saya bagi peluang kalau tak mampu bayar sekali gus, boleh ansur-ansur, tapi itu pun dia perdaya saya. Tak berkatlah dia buat rumah emaknya dan canang itu dan ini, tapi wang saya dia mengelak nak bayar,” katanya. Bagaimanapun, Fizz yang dihubungi enggan memberikan sebarang komen dan tidak mahu ambil melayan dakwaan itu.
|
ADVERTISEMENT