BANDARAYA MELAKA - Operasi bersepadu mencegah kegiatan tidak bermoral di Taman Melaka Raya, dekat sini, awal pagi semalam kecoh seketika apabila seorang lelaki bersenjatakan pengunci stereng menghalang penguatkuasa menjalankan tugas. Lelaki berusia lingkungan 30-an itu dipercayai tauke salah satu premis datang bersama tujuh lelaki lain dengan menaiki dua kenderaan, turut bertindak menghalang lori Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dalam kejadian kira-kira 3 pagi itu. Dia kemudian menimbulkan kekecohan sebagai tanda protes terhadap MBMB yang menyita barangan termasuk set peralatan komputer di sebuah premis perjudian internet haram di bangunan tiga tingkat berkenaan. Datuk Bandar, Datuk Zainal Abu berkata, dua kereta yang menghalang laluan lori MBMB itu bagaimanapun berjaya dialihkan dengan bantuan anggota polis dari Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah yang turut menyertai operasi tersebut. “Ketika serbuan di premis berkenaan, sebanyak 64 set komputer dirampas, selain 38 pengunjung termasuk empat perempuan yang kesemuanya berusia disaman penguatkuasa Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) atas kesalahan berjudi,” katanya di sini, semalam. Zainal berkata, operasi bersepadu bermula kira-kira 12 tengah malam itu turut disertai Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Imigresen negeri dan Pejabat Kesihatan Daerah Melaka Tengah. “Serbuan membabitkan pemeriksaan di dua hotel bajet, tiga pusat hiburan dan sebuah premis perjudian internet haram dalam operasi selama lebih empat jam tersebut. “Dua pasangan berkhalwat turut dicekup anggota Jaim di sebuah hotel bajet di Ujong Pasir. Mereka dibawa ke pejabat Jaim untuk siasatan di bawah Seksyen 53 Enakmen Kesalahan Syariah Melaka 1991 kerana bersekedudukan,” katanya. Beliau berkata, dua pasangan terbabit terdiri daripada dua lelaki berusia 22 dan 25 tahun yang berasal dari negeri ini, manakala pasangan mereka datang dari Kelantan dan Selangor masing-masing berusia 22 dan 21 tahun.
|
ADVERTISEMENT