Hyper Act teruja! BIARPUN jarang kisah mereka tersiar di dada akhbar, namun muzik yang diperkenalkan bukanlah asing bagi peminat muzik tempatan. Mula dikenali menerusi single pertama mereka Harapan yang dijadikan soundtrack drama rantaian popular Seindah Sakura, nama band Hyper Act semakin melonjak apabila dua lagu lain iaitu Hanya Aku dan Kayangan berjaya menambat hati pendengarnya. Sempat bertemu mereka pada majlis pelancaran program H Live!, baru-baru ini, band yang terdiri daripada enam anggota berasal dari Johor ini, sempat berkongsi perkembangan terbaru di mana mereka bakal melancarkan album pertama awal Jun ini. “Alhamdulillah, proses pembikinan telah siap sepenuhnya dan album ini dijangka akan dilancarkan pada awal Jun ini. “Secara keseluruhan, konsep album ini masih sama dengan muzik yang kami bawa sebelum ini,” kata Ronnie yang merupakan vokalis band tersebut. Mengulas lanjut mengenai buah tangan terbaharu mereka itu, Toi yang juga merupakan pemain bass kumpulan ini juga memberitahu album pertama itu bakal memuatkan lapan buah lagu. “Empat buah lagu baharu akan dimuatkan dalam album ini bersama empat lagu hit kami yang telahpun dimainkan di corong-corong radio seluruh negara. “Semua lagu ini adalah ciptaan sepenuhnya dari Hyper Act sendiri dan secara keseluruhan lagu yang ada tidak lari daripada konsep yang kami bawa iaitu pop rock dan rock balada. “Kami amat berharap, album pertama ini akan mendapat sambutan yang baik daripada peminat kerana inilah hadiah istimewa buat mereka yang selama ini tidak pernah berhenti menyokong kami,” ujarnya. Jelajah tujuh lokasi Dalam perkembangan lain, Ronnie memberitahu mereka akan menjelajah ke tujuh buah lokasi di seluruh negara sempena mempromosikan album pertama itu. “Ini adalah album pertama kami, jadi kalau boleh kami mahu buat yang terbaik. “Di samping mempromosikan album, peluang ini juga kami akan gunakan untuk mengenali dan bertemu peminat dengan lebih dekat,” katanya.
|
ADVERTISEMENT