|
Pelakon Aaron Aziz tidak kisah bekerja keras demi memastikan anak isteri hidup selesa. Apa saja keinginan isterinya Diyana Halik dan tiga anak mereka Danish Anaqi, Dwi Ariana dan Dah-liah Arissa akan cuba dipenuhi kerana itu tanggungjawabnya sebagai suami dan bapa
Bagi Aaron atau nama sebenarnya Aaron Mustapha Aziz, keluarga adalah segala-galanya buat dirinya dan akan sentiasa mengutamakan isteri dan anak tercinta.
Sempena Ramadan, Aaron berehat seketika demi menghabiskan lebih masa bersama keluarga, selain menumpukan perhatian terhadap kafe miliknya yang baru beroperasi.
Sebagai bapa, pelakon kelahiran Kota Singa ini tidak jemu-jemu me-nyuntik semangat kepada anak supaya mengerjakan ibadah puasa pada usia muda.
Justeru, sahur menjadi kemestian, malah mengimamkan anak solat, terutama putera tunggalnya Danish.
“Puasa ketika bujang dan apabila berkeluarga memang berbeza. Kalau dulu, tak bangun sahur pun tak mengapa sebab saya masih boleh berpuasa tetapi sejak berumah tangga, sahur jadi kemestian.
“Apatah lagi anak mula berpuasa. Kasihan mereka kalau tidak bersahur, pasti lapar dan tidak bertenaga di siang hari. Biasanya anak yang bangun dulu dan kejutkan saya.
“Penat macam mana pun, tetap kena bangun. Bila makan bersama-sama, mereka nampak lebih bersemangat untuk berpuasa,” katanya.
Aaron akui dia memilih ber-sahur di rumah berbanding bawa keluarga makan di luar. Lebih selesa dan berselera makan juadah dihidang isteri tersayang dengan dibantu pembantu rumah.
Katanya, dia tidak cerewet soal makan, cukup nasi dengan sejenis lauk.
“Satu lauk pun tak kisah asalkan dapat makan nasi. Yang penting bagi saya, dapat makan dengan anak. Lihat wajah ceria mereka buat saya gembira.
“Apabila bangun, semua makanan tersedia atas meja. Diyana dan pembantu rumah uruskan segala-galanya. Anak pula akan kemas meja selepas selesai makan.
“Walaupun ada pembantu, kami mahu anak berdikari dan tahu buat kerja rumah, lebih-lebih lagi perempuan,” katanya.
Berkongsi pengalaman paling tidak dapat dilupa ketika bersahur adalah gelagat Danish yang tertidur sambil makan pada hari pertama si kecil itu berpuasa. Aksi tidak dijangka itu menggeletek hatinya dan isteri.
Bintang Kushinero Cinta itu bersyukur kerana impian mengusahakan kafe diberi nama Kidz & Creme bersama isteri dimakbul Ilahi.
Beroperasi di Setia Alam, Shah Alam, kafenya menawarkan pelbagai hidangan lazat, termasuk aneka pilihan pencuci mulut. Sempena Ramadan, ada tawaran istimewa bufet berbuka puasa dengan harga menarik.
“Alhamdulillah, sambutan sangat memberangsangkan. Terima kasih saya dan isteri ucapkan kepada peminat dan penduduk sekitar yang tidak jemu-jemu menyokong kami.
“Memandangkan Kidz & Creme baru beroperasi, saya kena beri lebih tumpuan. Banyak perkara perlu diteliti, termasuk soal menu dan pemasaran.
“Setakat ini berdasarkan maklum balas diterima daripada pelanggan, mereka berpuas hati dengan menu yang kami sediakan. Kami akan terus memberi servis terbaik buat pelanggan,” katanya.
Kata Aaron, aktiviti berlakon hanya akan bermula selepas Aidilfitri untuk telefilem Cinta Agung yang turut menjalani penggambaran di Indonesia. Kali ini Aaron sekali lagi digandingkan dengan Siti Saleha.
“Saya teruja dengan projek ini kerana bekerja dengan pengarah tersohor seberang, Hanung Bramantyo yang sebelum ini menghasilkan filem Ayat Ayat Cinta dan Perempuan Berkalung Sorban.
“Saya meminati karya beliau dan peluang bekerjasama dengan Hanung umpama bulan jatuh ke riba. Harap perkongsian ilmu di lokasi nanti membantu memantapkan lagi mutu lakonan saya,” katanya.
|
|