Wee: Mary Yap tak patut marah-marah
Bekas timbalan menteri pelajaran Datuk Wee Ka Siong berkata, penggantinya Datuk Mary Yap tidak sepatutnya memarahi pihak yang mempersoalkan isu peruntukan untuk sekolah menengah jenis kebangsaan Cina (SMJKC).
Wee berkata beliau melihat Yap bersikap demikian dalam satu program dialog yang disiarkan melalui televisyen semalam.
"Semalam saya menonton TV, cara timbalan menteri pendidikan menjawab di TV begitu garang sekali, sehingga saya rasa, seperti sayalah pihak yang (dimarahi).
"Saya rasa ini adalah satu forum untuk rakyat, mana-mana NGO, pertubuhan, atau individu, termasuklah ahli-ahli parlimen, membicarakan tentang belanjawan 2014.
"Sebab itu adanya perbahasan, adanya penyelarasan sekiranya perlu, yang ditunggu-tunggu oleh masyarakat sekiranya apa yang kita bawa itu berasas.
"Jadi, saya rasa tidak eloklah menyifatkan macam kita mempertikai itu dan ini," kata Wee dalam sidang media hari ini.
Yap semalam dilaporkan menafikan bahawa SMJKC tidak diberikan peruntukan. Katanya, kerajaan tidak seharusnya dipertikaikan dalam soal tersebut kerana beliau sendiri telah meluluskan RM30 juta untuk 66 buah SMJKC.
Wee bagimanapun berkata, isu yang menjadi persoalan adalah SMJKC tidak diberikan peruntukan dalam Bajet 2014. Beliau juga menggariskan bahawa sebanyak RM30 juta diberikan setelah MCA membuat permohonan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib pada tahun lalu. Katanya, peruntukan tersebut, termasuk untuk membaikpulih sekolah, dijanjikan di Parlimen sejak lima dekad lalu dan kumpulan terlibat hanya meminta agar ianya disampaikan. http://www.malaysiakini.com/news/245407
|