Sze Fei-Izzuddin mara ke suku akhir
Khairil S Iswan - November 13, 2025 @ 4:39pm

Sze Fei-Izzuddin mara ke suku akhir Masters Kumamoto. Foto: Fail NSTP
KUALA LUMPUR: Beregu lelaki profesional negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rusmani dipaksa bekerja keras sebelum mengesahkan kemaraan ke peringkat lapan terbaik Masters Kumamoto di Jepun, hari ini.
Dalam aksi di Gimnasium Kumamoto, pasangan nombor empat dunia itu terpaksa mengharungi permainan tiga set sebelu menumpaskan beregu kurang ternama dari Jepun, Keiichiro Matsui-Katsuki Tamate, dengan keputusan 21-23, 21-13, 26-24.
Kemenangan itu amat penting bagi Sze Fei-Izzuddin untuk terus menghidupkan peluang beraksi di Jelajah Dunia Akhir BWF yang berlangsung di Hangzhou, China pada 17-21 Disember ini.
Sze Fei-Izzuddin kini bersaing sengit dengan rakan senegara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun bagi merebut slot kedua Malaysia untuk menyertai beregu nombor dua dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, yang sudah pun layak.
Lawan mereka di peringkat suku akhir adalah pasangan Taiwan di ranking 12 dunia, Lee Jhe Huei-Yang Po Hsuan.
Dalam pada itu, juara Terbuka Macau, Wan Arif Junaidi-Yap Roy King turut mempamerkan aksi meyakinkan apabila menyingkirkan wakil tuan rumah, Takumi Nomura-Yuichi Shimogami, dengan kemenangan 21-11, 21-19.
Turut mara adalah pasangan Choong Hon Jian-Haikal Nazri yang bangkit daripada kekalahan set pertama untuk menewaskan beregu Taiwan, Liu Kuang Heng-Yang Po Han 14-21, 21-17, 21-19.
https://www.bharian.com.my/sukan/raket/2025/11/1471312/sze-fei-izzuddin-mara-ke-suku-akhir
|