Pengalaman jadi senjata Aaron-Wooi Yik mara ke suku akhir
Sukhairi Thani - Ogos 29, 2025 @ 12:42am

Aaron-Wooi Yik mara ke suku akhir Kejohanan Dunia di Paris. - Foto fail NSTP
KUALA LUMPUR: Beregu lelaki negara, Aaron Chia-Aoh Wooi Yik membuktikan pengalaman menjadi senjata utama mereka untuk mara ke suku akhir Kejohanan Dunia di Paris, sebentar tadi.
Pilihan kedua kejohanan itu dikejutkan oleh beregu 'junior' mereka, Wan Arif Wan Junaidi-Yap Roy King apabila tewas 18-21 di set pertama.
Begitupun keputusan itu nyata tidak melemahkan semangat Aaron-Wooi Yik dengan mereka berjaya bangkit untuk mencipta kemenangan di set kedua dengan keputusan 21-18 sekali gus mengheret perlawanan ke set penentuan.
Set penentuan berlangsung penuh sengit apabila kedua-dua beregu saling bertukar mata sebelum Aaron-Wooi Yik yang juga pemenang pingat gangsa di Sukan Olimpik Paris 2024 itu menoktahkan kemenangan 26-24.
Di suku akhir nanti, Aaron-Wooi Yik dijadual bertemu sama ada beregu India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty atau Liang Wei Keng-Wang Chang yang juga pilihan keenam dari China.
Sebagai rekod, pertemuan kedua-dua beregu ini adalah yang kedua selepas Aaron-Wooi Yik mencipta kemenangan 21-12, 21-13 ke atas Arif-Roy King di suku akhir Terbuka Thailand 2025, Mei lalu.
Dalam pada itu, beregu wanita utama negara, Pearly Tan-M Thinaah turut melangkah mara apabila menewaskan wakil Indonesia, Lanny Tria Mayasari-Siti Fadia Silva Ramadhanti 21-12, 21-11.

Pearly-Thinaah turut melangkah mara ke suku akhir Kejohanan Dunia di Paris. - Foto fail NSTP
Menanti Pearly-Thinaah di peringkat lapan terbaik adalah pemenang perlawanan antara pasangan adik-beradik dari Bulgaria, Gabriela Stoeva-Stefani Stoeva atau pilihan kelapan dari Jepun, Yuki Fukushima-Mayu Matsumoto.
https://www.bharian.com.my/sukan/raket/2025/08/1439509/pengalaman-jadi-senjata-aaron-wooi-yik-mara-ke-suku-akhir
|