Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengumumkan kenaikan pangkat dan pertukaran 23 pegawai kanannya berkuat kuasa 18 Ogos depan.
Setiausaha PDRM, Datuk Kamaruzaman Abdullah berkata, ia turut membabitkan lima ketua polis negeri.
Menurutnya, mendahului senarai pertukaran adalah Timbalan Pengarah Pengurusan (Pentadbiran) Jabatan Pengurusan Bukit Aman, Datuk TS Azizee Ismail bertukar ke Ketua Polis Pulau Pinang dengan memangku pangkat Komisioner Polis (CP).
"Komandan Maktab PDRM, Datuk Shazeli Kahar pula bertukar ke Ketua Polis Selangor dengan memangku pangkat CP, Timbalan Pengarah Risikan/Operasi Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Fadil Marsus bertukar ke Ketua Polis Kuala Lumpur dengan memangku CP.
"Timbalan Ketua Polis Kedah, Deputi Komisioner Polis (DCP) Adzli Abu Shah pula menjadi Ketua Polis Kedah dengan memangku pangkat CP manakala Timbalan Pengarah Pengurusan (Perkhidmatan /Perjawatan) Bukit Aman, DCP Ab Rahaman Arsad bertukar ke Ketua Polis Johor dengan memangku pangkat CP," katanya dalam kenyataan hari ini.
Kamaruzaman berkata, Ketua Lesen Pasukan Urus Setia KPN (Lesen Senjata Api) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner (SAC) Datuk Md Nazri Zawawi, bertukar ke Timbalan Pengarah Pengurusan (Perkhidmatan /Perjawatan) Bukit Aman dengan memangku DCP.
"Sementara itu, 17 lagi pegawai kanan turut dinaikkan pangkat ke DCP, SAC dan Asisten Komisioner (ACP) dan bertukar jawatan," katanya.