Pernahkah anda menonton filem Titanic atau membaca sejarah kejadian RMS Titanic karam di Lautan Atlantik pada 14 April 1913 kerana terlanggar bongkah ais yang besar? Jika ya, anda juga pasti terbaca tentang kapal yang berdekatan dengan RMS Titanic ketika itu, iaitu RMS Carpathia.
Anda tahu apa yang membolehkan Carpathia sedar Titanic sedang tenggelam dan bergegas menghantarkan bantuan yang berjaya menyelamatkan lebih kurang 700 penumpang itu. Ia berkat telegraf tanpa wayar, ciptaan Guglielmo Marconi.
Guglielmo Giovanni Maria Marconi dilahirkan pada 25 April 1874 di Itali. Seawal usia 18 tahun, Marconi sudah berjinak-jinak dengan pengetahuan fizik. Musim panas tahun 1894, Marconi berjaya mencipta penggera ribut. Menjelang usianya 20 tahun, Marconi mula mengendalikan eksperimen gelombang radionya sendiri di loteng rumahnya.
Musim panas tahun berikutnya, Marconi mengendalikan eksperimen di luar rumah. Dia mencuba pelbagai bentuk dan susunan antena, namun kejayaan awal hanya memperlihatkan mesej boleh dihantar sejauh setengah batu sahaja melalui telegraf.
Marconi mendapat ilham untuk mencuba mengubah antena dari segi ketinggian. Lebih tinggi kedudukan antena, Marconi mendapati lebih banyak signal boleh didapati. Dengan itu, mesej boleh dihantar sejauh dua batu dan melepasi ketinggian bukit.
Marconi mula menulis surat kepada Kementerian Pos dan Telegraf di Bologna dengan menjelaskan ciptaannya dan cuba memohon bantuan kewangan. Menyedihkan sekali, suratnya diabaikan.
Maka, pada tahun 1896, Marconi membuat keputusan untuk berhijrah ke England dengan bantuan bapa rakannya, Carlo Gardini. Gardini menulis surat kepada duta Itali di London, Annibale Ferrero yang mendapat balasan segera. Ferrero menyetujui rancangan Marconi ke England, dan menasihatkan lelaki itu tidak menyebarkan keputusan telegraf itu sebelum sampai.
Awal tahun itu, Marconi tiba di England bersama ibunya. Demonstrasi telegraf tanpa wayar hanya bermula pada Julai tahun tersebut. Pada Mac 1897, ciptaan Marconi ini akhirnya boleh menghantar mesej menjangkau enam batu, melepasi dataran kapur Salisbury Plain. Marconi mendaftarkan nama syarikatnya sebagai Wireless Telegraph and Signal Company.
Pada tahun berikutnya, Marconi mula mengambil langkah memasang dua buah radio di perairan utara Ireland bagi membolehkan maklumat mengenai kapal yang lalu sampai ke daratan.
Tahun 1898 itu juga, Marconi mencipta sejarah lebih besar apabila memasang sebuah radio di Queen Victoria’s Royal Yacht bagi membolehkan Ratu Victoria berhubung dengan puteranya, Prince of Wales yang berkeliling di lautan.
Menjelang peralihan abad, Marconi meluaskan kajian telegrafnya kepada penyiaran merentas Lautan Atlantik (transatlantik). Kajian itu dimulakan bagi membuktikan mesej boleh disampaikan walaupun tanpa wayar.
Marconi juga menaiki kapal SS Philadephia yang belayar ke Barat dari Britain. Sepanjang perjalanan, dia merekodkan telegraf yang diterima dari stesen Poldhu yang dibina di Cornwall. Jarak yang dicatatkan untuk sesebuah mesej berjaya diterima ialah sejauh 3,400 kilometer pada waktu malam manakala 1,100 kilometer pada waktu petang.
Pada tahun 1935, Marconi pulang semula ke Itali dan menetap di Rom sehingga beliau meninggal dunia pada 20 Julai 1937. Marconi berusia 63 tahun ketika itu.
Sebagai penghormatan, stesen telegraf tanpa wayar seluruh dunia menutup perkhidmatan selama dua minit. Mesin tidak berbunyi, seolah-olah pada zaman sebelum kelahiran Marconi.
Pada hari ini, telegraf tanpa wayar tidak lagi digunakan untuk menyampaikan mesej kerana telah wujudnya radio, televisyen dan media baru yang lebih moden dan pantas. Namun, penemuan Marconi telah banyak membantu pereka cipta seterusnya untuk berinovasi dengan ciptaannya. - UTUSAN TV
|