|
View: 35319|Reply: 1
|
Kanak-kanak, remaja obesiti terdedah masalah hati berlemak, fibrosis
[Copy link]
|
|
|
MASALAH obesiti atau berat badan berlebihan dalam kalangan kanak-kanak berusia lima hingga 10 tahun tidak boleh dipandang remeh.
Ini kerana dibimbangi apabila dewasa kanak-kanak itu turut berisiko sehingga 70 peratus mengalami obesiti.
Secara umum, jika terdapat kira-kira 10 kanak-kanak obesiti, hanya dua orang sahaja mampu menurunkan berat badan sebelum dewasa sekali gus berjaya mengekalkan berat badan yang optimum.
Pakar Perunding Pediatrik Endokrinologi, UM Specialist Centre (UMSC), Profesor Dr Muhammad Yazid Jalaludin, berkata berdasarkan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS), satu daripada tiga kanak-kanak mengalami berat badan berlebihan.
Katanya, daripada jumlah itu, empat daripada lima orang tidak aktif secara fizikal; dua daripada tiga di tahap tidak aktif (banyak duduk) dan empat daripada lima remaja tidak cukup pengambilan buah-buahan dan sayuran.
Selain itu katanya, satu daripada tiga remaja itu dikesan minum air manis dan berkarbonat setiap hari manakala satu daripada 10 kanak-kanak mengambil makanan segera tiga kali seminggu.
"Semua ini adalah punca kenapa kanak-kanak mengalami berat badan berlebihan seterusnya menjurus kepada obesiti.
"Mereka ini juga berisiko obesiti sehingga dewasa jika dari usia muda tiada kesedaran untuk berusaha menurunkan berat badan.
"Kanak-kanak berusia tujuh hingga 10 tahun berisiko obesiti sehingga 80 peratus manakala kanak-kanak berusia 10 tahun ke atas berisiko sehingga 70 peratus," katanya kepada BH.
Beliau berkata, ada ibu bapa yang tidak kisah anak obesiti dan menganggap apabila dewasa anak mereka akan berusaha menurunkan berat badan sendiri.
Katanya, berdasarkan NHMS 2024, kira-kira 54 peratus golongan dewasa mengalami obesiti dan ia seakan-akan perkara normal dalam kalangan rakyat.
"Ini masalah serius, tidak sepatutnya berlaku kerana sudah lebih separuh rakyat Malaysia mengalami obesiti dan perkara ini jelas perlu diatasi dari kanak-kanak lagi.
"Jika dibandingkan dengan negara Asia lain, obesiti dalam kalangan kanak-kanak berdasarkan data oleh Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), Malaysia di tempat kedua iaitu sebanyak 12.7 peratus berbanding Brunei 14.1 peratus manakala Thailand (11.3 peratus) dan Singapura (6.8 peratus)," katanya.
Jelas beliau, Indeks Jisim Badan (BMI) ideal bagi seorang kanak-kanak bergantung kepada usia serta jantina dan secara am jika BMI berada dalam julat 85 sehingga 95 persentil, mereka dikategorikan sebagai berlebihan berat badan. Jika BMI mereka melebihi 95 persentil, mereka dikategorikan sebagai obesiti.
Katanya, 120 peratus hingga kurang daripada 140 peratus daripada persentil ke-95 atau BMI 35 kg/m² hingga kurang daripada 40 kg/m² dikategorikan obesiti sederhana manakala obesiti teruk 140 peratusdaripada persentil ke-95 atau lebih tinggi, atau BMI 40 kg/m² atau lebih.
"Obesiti ini seterusnya akan menyebabkan masalah metabolik antaranya pradiabetes, kolesterol tinggi, paras tinggi triglyceride dan boleh menyebabkan hati berlemak.
"Kajian di Universiti Malaya (UM) turut mendapati kanak-kanak turut tidak terkecuali mendapat masalah hati berlemak malah ada yang mendapat fibrosis.
"Kanak-kanak juga boleh mendapat 'sleep apnea' iaitu keadaan di mana nafas berhenti ketika sedang tidur.
"Keadaan ini menyebabkan jantung sebelah kanan membengkak atau semakin tebal serta tekanan pada paru-paru tinggi sekali gus pesakit boleh mati ketika sedang tidur," katanya.
Dr Muhammad Yazid berkata, kanak-kanak obesiti juga berisiko mendapat 'Blount disease' iaitu kaki bengkok akibat berat badan berlebihan.
Malah katanya, kanak-kanak juga boleh mendapat 'Akantosis nigricans' iaitu tompok kulit menebal dan berwarna hitam yang selalu naik pada leher dan ia juga petanda awal diabetes.
"Sebab itu penting mengawal berat badan anak sejak dari kecil bagi menghalang daripada berlaku masalah kesihatan sedemikian.
"Tinjauan dilakukan pelajar UM mendapati 70 peratus ibu bapa menganggap berat anak mereka normal walaupun BMI menunjukkan sebaliknya," katanya.
Malah beliau berkata, kajian turut menunjukkan jika salah seorang ibu bapa adalah obes, anak turut akan mengikut jejak sehingga lima kali ganda manakala jika kedua-dua ibu bapa adalah obes, anak boleh mengikut sehingga 13 kali ganda.
Katanya, lazimnya ibu bapa obes akan memberikan anak makanan yang sama seperti mereka makan, menyebabkan anak turut berisiko obesiti.
"Bagaimanapun, dalam sesetengah kes, obesiti bukan berlaku dari kanak-kanak, tetapi sejak dari dalam kandungan lagi.
"Oleh itu, wanita yang ingin mengandung, perlu memastikan berat badan normal bagi mengelak anak alami masalah obesiti," katanya.
Menurut Dr Muhammad Yazid, antara cara mencegah obesiti dalam kalangan kanak-kanak, termasuklah berhati-hati dengan makanan berkalori tinggi dan elak mengambil minuman manis.
Makan mengikut saranan suku-suku separuh, makan pada waktu ditetapkan, elakkan makanan segera dan melakukan aktiviti fizikal 45 hingga 60 minit setiap hari.
Katanya, penting juga memastikan kanak-kanak mendapat tidur yang mencukupi dan berkualiti kerana kurang tidur, akan menyebabkan badan berasa lapar dan makan lebih banyak daripada biasa.
"Tidur mencukupi dan berkualiti bagi kanak-kanak minimum lapan sehingga 10 jam sehari dan lebih elok tidur sebelum jam 10 malam setiap hari supaya tidur lebih berkualiti," katanya.
Selain itu katanya, kerajaan boleh turut sama membantu pencegahan obesiti dengan mempelbagaikan polisi contohnya, tidak menjual makanan ringan di sekolah, mengurangkan harga buah dan sayuran atau setiap taman perumahan perlu ada taman permainan kanak-kanak yang selamat.
"Paling penting adalah meningkatkan kesedaran obesiti dalam kalangan semua pihak termasuk doktor dan komuniti supaya semua sedar masalah itu," katanya.
Berkenaan jenis rawatan obesiti dalam kalangan kanak-kanak, beliau berkata, pembedahan seperti bariatrik tidak begitu sesuai kerana kanak-kanak ini masih dalam proses membesar. Namun, jika keadaan terlalu serius, pembedahan boleh dibuat hanya selepas kanak-kanak terbabit hampir meningkat dewasa.
Beliau berkata, ini berikutan dalam keadaan sedang membesar, pembedahan bariatrik ini boleh menyebabkan kanak-kanak itu mengalami masalah penyerapan vitamin berkaitan dengan lemak seperti vitamin A, D, E dan K.
"Semua vitamin ini penting untuk tumbesaran dan jika dibuat juga pembedahan, penyerapan lemak akan kurang sekali gus boleh menyebabkan masalah 'blindness' kerana tidak mendapat vitamin A yang mencukupi," katanya.
Namun katanya, ketika ini sudah ada ubat tertentu yang boleh diberikan kepada kanak-kanak berusia enam sehingga 12 tahun jika mereka tidak boleh menurunkan berat badan setelah menjalani modifikasi tingkahlaku seperti senaman dan penjagaan makanan yang ketat.
Katanya, ubat yang dipanggil Liraglutide sejenis glucagon-like peptide-1 receptor agonis (GLP-1RA) itu berkesan membantu menurunkan berat badan.
Justeru, beliau menasihati ibu bapa supaya sentiasa berhati-hati dalam pemilihan makanan untuk anak mereka.
Katanya, ibu bapa juga perlu tahu apa yang elok dan tidak elok untuk diberikan kepada anak bagi mengelak berlaku berat badan berlebihan.
"Ibu bapa juga perlu menjadi 'role model' kepada anak terutama dalam pemilihan pemakanan yang baik dan elok untuk kesihatan.
"Selain itu, banyak luangkan masa dengan anak untuk melakukan aktiviti riadah kerana selain untuk kesihatan yang baik, ia dapat mencipta memori indah bersama," katanya.
INFO: KATEGORI BMI UNTUK KANAK-KANAK DAN REMAJA 2 HINGGA 19 TAHUN
Kategori BMI Julat BMI
Kekurangan berat badan Kurang di bawah persentil ke-5
Berat badan sihat Persentil ke-5 hingga ke-85
Berlebihan berat badan Persentil ke-85 hingga ke-95
Obesiti Pada atau melebihi persentil ke-95 atau 35
Sumber: BH Online
|
Rate
-
1
View Rating Log
-
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Jika dari remaja sudah ada obesity, maka fat2 dalam badan dia akan mula mengumpulkan fat dalam liver pulak. Nanti akan dapat Non-Alcoholic Fatty Liver Disease (NAFLD) dalam umur 20an 30an.. nanti liver itu akan rosak, menjadi Non-Alcoholic Steato-Hepatitis (NASH). NASH tidak jauh dah dari Liver Fibrosis ie Cirrhosis. |
|
|
|
|
|
|
|
|
| |
|