View: 6067|Reply: 0
|
[Dunia]
Bestinet nafi kerajaan bakal bayar RM3.2 bilion, dakwa laporan PAC tak tepat
[Copy link]
|
|
Bestinet nafi k'jaan bakal bayar RM3.2 bilion, dakwa laporan PAC tak tepat
https://www.malaysiakini.com/news/726609
B Nantha Kumar
Diterbitkan: Nov 21, 2024 3:04 PM
Dikemaskini: 3:10 PM
Syarikat Bestinet Sdn Bhd, yang menguruskan Sistem Pengurusan Pekerja Asing (FWCMS) menafikan laporan Jawatankuasa Kira-Kira (PAC) yang mengatakan kerajaan mungkin terpaksa membayar RM3.22 bilion di bawah perjanjian baru antara syarikat itu dengan kerajaan.
Ketua pegawai eksekutif syarikat itu, Ismail Mohd Noor menyifatkan laporan PAC itu sebagai tidak tepat.
"Saya terkejut dengan laporan PAC itu yang mengatakan kerajaan bakal membayar RM3.22 bilion kepada Bestinet. Kenyataan kurang tepat ini memberi imej buruk kepada kerajaan dan juga Bestinet," katanya kepada Malaysiakini.
Menurutnya, di bawah perjanjian baru, fi proses sebanyak RM215 untuk setiap permohonan yang diluluskan oleh Jabatan Imigresen akan dikutip oleh kerajaan untuk membayar kepada Bestinet.
Bagaimanapun katanya, kos itu ditanggung oleh majikan.
"Kerajaan menjadi perantara kutipan fi tersebut sebelum membayar kepada kami. Tiada fi tambahan dikenakan kepada kerajaan. Yang akan bayar adalah majikan yang masih ingin mendapatkan perkhidmatan pekerja asing," katanya.
"Maka, perjanjian awal 'tiada kos kepada kerajaan' masih kekal," katanya.
Dia diminta mengulas laporan PAC hari ini yang mengatakan kerajaan mungkin terpaksa membayar RM3.22 bilion sebagai bayaran kepada Bestinet berikutan isu yuran RM215 (setiap pekerja asing) yang dikenakan ke atas Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) atau e-PASS yang dijana.
Menurut laporan PAC, bayaran itu lebih tinggi berbanding perjanjian sebelum ini yang hanya memerlukan RM100 bagi setiap pekerja asing.
"Ia juga lebih tinggi daripada kadar yang diluluskan Unit Kerjasama Awam-Swasta di bawah Jabatan Perdana Menteri iaitu RM86 dan syarikat hanya meminta RM120.
"Jadi berdasarkan caj RM215 setiap orang, gandakan dengan bilangan pekerja asing di Malaysia (2.5 juta) dan gandakan lagi dengan enam tahun (bayaran tahunan), ia akan mencecah RM3.22 bilion," kata laporan itu.
Perkiraan PAC kurang tepat
Bagaimanapun, Ismail berkata perkiraan PAC itu kurang tepat.
"PAC menyatakan RM215 untuk setiap pekerja asing dan gandakan 2.5 juta. Angka 2.5 juta ini adalah cuma siling pekerja yang boleh dibenarkan menggaji di Malaysia.
"Itu tidak bermaksud Malaysia menggaji 2.5 juta setiap tahun. Sebagai contoh, sekarang negara Malaysia cuma ada 2.1 juta sahaja pekerja asing.
"Dan dengan polisi kerajaan menggalakkan majikan mengambil tenaga kerja tempatan, sudah pasti dalam tahun-tahun akan datang jumlah pekerja asing akan turun di negara kita," katanya.
Terdahulu, PAC dalam kenyataan media berkata jawatankuasa itu berpandangan bahawa kontrak Foreign Workers Centralized Management System (FWCMS) atau Sistem Pengurusan Bersepadu Pekerja Asing antara kerajaan dengan syarikat Bestinet Sdn Bhd, yang ditandatangani pada September lalu dilihat sebagai langkah kurang cermat.
Ini memandangkan caj bayaran yang dikenakan tinggi dan akan membebankan majikan dan pekerja asing.
Ismail bagaimanapun berkata fi baru RM215 itu dipersetujui semua pihak yang berada dalam jawatankuasa khas yang ditubuhkan untuk membincangkan syarat-syarat sebelum menandatangani kontrak baru.
Fi itu mengambil kira tunggakan yang dituntut oleh Bestinet sebelum ini untuk caj perkhidmatan selama 6 tahun bagi tempoh 2018 -2024 dan untuk tempoh baru kontrak dari 2024-2030.
Pada masa yang sama, Ismail berkata semua pengguna FWCMS akan mempunyai kelebihan satu tetingkap bagi pengurusan holistik bagi semua pekerja asing mereka.
"Seperti saya kata sebelum ini, bayaran ini dibayar oleh majikan. Bukan kerajaan. Kalau majikan rasa fi sangat tinggi, kemudian mereka boleh ambil pekerja tempatan. Bukan paksaan. Sebagai pengendali sistem kami perlu kutip fi untuk meneruskan operasi kami," katanya.
Pada 24 Jun tahun ini, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata kerajaan akan melanjutkan kontrak Bestinet dengan syarat lebih ketat.
Menurutnya, kerajaan menubuhkan jawatankuasa yang diketuai Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali dan dianggotai wakil Kementerian Dalam Negeri (KDN), Kementerian Sumber Manusia (KSM) dan Pejabat Peguam Negara (AGC) untuk membincangkan syarat kontrak.
Antara prinsip asas yang dibincangkan adalah aspek mempercepatkan permohonan, mengurangkan kos migrasi, kebajikan pekerja asing dan kepentingan majikan. Kontrak baru Bestinet bermula pada 1 Jun 2024 hingga 31 Jan 2031. -
|
|
|
|
|
|
|
| |
|