MIRI: Langkah Sarawak mempertimbang untuk menganjurkan semula Sukan Borneo yang melibatkan tiga negara di pulau ini, bukan hanya mampu memupuk semangat setia kawan dan kerjasama antara tiga negara, malah boleh menjadikannya sebagai platform untuk mengembangkan ekonomi serantau.
Sukan Borneo seperti juga kejohanan sukan lain, akan mampu menarik tumpuan rakyat ketiga-tiga negara untuk datang ke tapak sukan, sekali gus menjana ekonomi di kawasan setempat sepanjang sukan berkenaan berlangsung.
Pergerakan Wanita (Wanita) Persatuan Intelektual Peribumi Sarawak (PERANTIS) melihat Sukan Borneo sebagai serampang dua mata yang mampu mengukuhkan hubungan baik ketiga-tiga negara dan pada masa yang sama mempromosikan kepelbagaian budaya dan adat resam serta membuka ruang ekonomi bagi masyarakat peniaga.
"Justeru kami mencadangkan agar pihak penganjur (kementerian) berkaitan, mengadakan ekspo perdagangan seiring dengan penganjuran sukan di mana para pengusaha dari ketiga-tiga negara boleh tampil mempamerkan dan menjual produk mereka di ekspo berkenaan kelak," kata Wanita PERANTIS kepada Utusan Borneo di sini, hari ini.
Robbia (kiri) dan Roseline mencadangkan agar ekspo itu kelak turut menjemput pertubuhan wanita seperti Wanita PERANTIS untuk mengambil bahagian
Ketua Wanita PERANTIS Robbia Jarup dan timbalannya Roseline Garai memberitahu, mereka mencadangkan agar ekspo itu kelak turut menjemput pertubuhan wanita seperti Wanita PERANTIS untuk mengambil bahagian, agar membuka ruang dan peluang kepada usahawan dan peniaga wanita di negeri ini.
"Justeru kita akan menyokong usaha Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak merancang untuk menghidupkan semula Sukan Borneo tahun depan dengan menerapkan kedua-dua elemen pembangunan sukan dan usahawan.
"Tahniah kepada Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah dan juga kerajaan wilayah Sarawak kerana telah menghidupkan kembali Sukan Borneo ini, selepas kali terakhir dianjurkan pada 2009," tambah mereka.
Sukan Borneo yang merupakan temasya sukan melibatkan tiga negara yang terdiri daripada Malaysia (Sarawak dan Sabah), Indonesia (Kalimantan) dan Brunei Darussalam wajar dihidupkan semula dengan Sarawak bersedia menjadi tuan rumah.
Abdul Karim dalam ucapan penggulungannya pada hari ketujuh Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kuching kelmarin memberitahu, Sukan Borneo akan dihidupkan semula pada tahun depan dengan Sarawak bersedia menjadi tuan rumah.
"Melalui temasya itu juga kita memupuk semangat setia kawan dan meningkatkan perkembangan atlet di kepulauan Borneo.
"Ini sekali gus dapat memperkukuh hubungan serta semangat persahabatan melalui sukan dan secara tidak langsung merancakkan industri pelancongan di Sarawak.
"Sarawak merupakan antara negeri yang mempunyai kemudahan dan prasarana sukan terbaik di Malaysia selain memiliki keindahan alam semula jadi yang boleh dieksploitasi sebagai pusat kegiatan sukan ekstrem," kata pemimpin Wanita PERANTIS itu lagi.
|