Angkara upah RM1,000, dua 'tekong darat' ditahan
Zuliaty Zulkiffli[email protected]
SEBUAH kereta Toyota Innova yang disita dan dipandu lelaki warga Kemboja kerana disyaki membawa warga asing secara haram. FOTO ihsan Polis
Jitra: Tindakan mencurigakan dua kenderaan menggunakan laluan belakang sebuah universiti awam, di sini, pada waktu awal pagi membongkar kegiatan penyeludupan 20 warga asing secara haram.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Redzuan Salleh berkata, kejadian itu disedari sepasukan anggota polis yang sedang melakukan rondaan di kawasan itu kira-kira 5 pagi semalam.
Menurutnya, mereka kemudian terserempak dua kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Innova yang dipandu dalam keadaan mencurigakan.
"Anggota polis terbabit mengekori dua kenderaan itu sebelum bertindak menahannya di Hosba, Changlun, di sini.
"Hasil pemeriksaan dalam Toyota Innova berwarna putih mendapati pemandu adalah lelaki warga Kemboja sebelum menemui empat lelaki dan lima wanita disyaki warga asing dalam kenderaan itu.
"Pemeriksaan lanjut di dalam Toyota Innova berwarna emas pula menemui pemandu seorang lelaki warga Kemboja bersama lapan lelaki dan tiga wanita warga asing.
"Kesemua warga asing berusia 20 hingga 40 tahun itu dipercayai dari Myanmar didapati tiada sebarang dokumen sah, manakala 'tekong darat' memiliki pasport Kemboja," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mohd Redzuan berkata, soal siasat mendapati kedua-dua tekong warga asing itu dipercayai menerima upah RM1,000 daripada seorang lelaki Myanmar untuk membawa warga asing terbabit dari sempadan Bukit Kayu Hitam ke Kuala Nerang, Padang Terap.
Menurutnya, kesemua warga asing terbabit ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Manusia 2007 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Disiarkan pada: November 21, 2024 @ 12:57pm https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2024/11/1157487/angkara-upah-rm1000-dua-tekong-darat-ditahan
|