CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 33774|Reply: 0

[Pulau Pinang] Sasar lonjak sektor ikan hiasan 5 peratus, teroka pasaran baharu di Asia Barat, Eropah

[Copy link]
Post time 20-11-2024 06:02 PM | Show all posts |Read mode
Sasar lonjak sektor ikan hiasan 5 peratus, teroka pasaran baharu di Asia Barat, Eropah

Oleh Siti Aminah Mohd Yusof - November 20, 2024 @ 5:20pm [email protected]




Adnan berucap pada Majlis Peluncuran AkuaTAR Berwajah Baharu di Dataran AkuaTAR Institut Penyelidikan Perikanan Batu Maung, Pulau Pinang. NSTP/MIKAIL ONG




GEORGETOWN: Jabatan Perikanan menyasarkan pengeluaran ikan hiasan dalam negara meningkat lima peratus termasuk meneroka potensi dan peluang menembusi pasaran baharu di negara Asia Barat serta Eropah, selain Asia Tenggara menjelang 2030.

Ketua Pengarahnya, Datuk Adnan Hussain, berkata ketika ini berlaku ketidakseimbangan dalam kegiatan eksport dan import ikan hiasan dengan 84.8 juta ekor ikan hiasan bernilai RM69.2 juta dibawa masuk ke negara ini berbanding 66.6 juta ekor bernilai RM52.8 juta dieksport ke luar negara, pada tahun lalu.

Beliau berkata, sebagai rekod, pengeluaran ikan hiasan di negara ini mencatatkan jumlah 241.8 juta ekor dianggarkan bernilai RM373.8 juta, pada tahun lalu.

"Maknanya kita mengimport lebih banyak iaitu lebihan 18.2 juta ekor dengan nilai RM16.4 juta. Ini menunjukkan ada permintaan daripada penduduk tempatan untuk mengimport ikan dari luar negara, antaranya dari Thailand, China dan Indonesia.

"Justeru Jabatan Perikanan berhasrat meningkatkan pengeluaran industri ikan hiasan itu sendiri bagi memenuhi permintaan berkenaan," katanya selepas Majlis Peluncuran Wajah Baharu Akuarium Tunku Abdul Rahman (AkuaTAR) di Institut Penyelidikan Perikanan (IPP), Batu Maung dekat sini, hari ini.

Adnan berkata, pihaknya juga bercadang mendapatkan laluan pasaran baharu bagi membolehkan industri ikan hiasan negara menembusi pasaran luar negara berbanding pasaran tradisional sedia ada misalnya Singapura, China, Hong Kong, Taiwan, Vietnam selain Eropah untuk spesies tertentu.

Beliau berkata, antara spesies ikan dieksport dan mendapat sambutan menggalakkan ialah arowana, ikan tropika seperti 'tiger barb' atau barbus harimau, gupi serta ikan yang mempunyai warna menarik seperti discus atau nama saintifiknya, Symphysodon berasal dari Sungai Amazon, Amerika Selatan.

"Kita berharap dapat meningkatkan pengeluaran dulu iaitu lima peratus pengeluaran menjelang 2030 berbanding pengeluaran 2023 dan pada masa sama, kita berusaha mendapatkan laluan pasaran lebih baik untuk ikan hiasan.

"Kita boleh keluarkan lebih tinggi tetapi pasaran tidak boleh 'serap' banyak, kalau kita keluarkan banyak nanti menyebabkan masalah juga kecuali kita dapat pasaran baharu dan menyasarkan akses pasaran lebih baik ke China, Asia Barat dan Eropah," katanya.

Sementara itu, Adnan berkata, kerja pengubahsuaian dan penambahbaikan AkuaTAR bermula awal tahun lalu dengan sokongan kewangan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) membabitkan peruntukan RM250,000 dan projek itu diteruskan tahun ini dengan tambahan dana RM250,000.

Beliau berkata, AkuaTAR kini menempatkan hampir 123 spesies ikan dalam 19 tangki air tawar, enam tangki ikan larangan import, 26 tangki marin, lapan tangki tumbuhan akuatik dan pelbagai spesimen awet serta empat kolam sentuh.

Selain itu, katanya, auditorium utama AkuaTAR menampilkan tangki berkapasiti 120 tan dan ikan paus Bryde sepanjang 12.19 meter turut menjadi satu daripada tarikan utama pengunjung.

"Mulai esok sempena Hari Perikanan Sedunia, tiket masuk ke AkuaTAR diberikan percuma kepada 200 pengunjung pertama dengan tajaan Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah.

"Ini sebagai penghargaan kepada semua yang menyokong dan memberi kepercayaan kepada AkuaTAR menjadi destinasi pilihan untuk rekreasi dan pembelajaran," katanya.

Sebagai rekod, AkuaTAR yang suatu ketika dulu dikenali sebagai Akuatorium Malaysia Pulau Pinang dirasmikan Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj pada 1968 dan merekodkan kira-kira 250,000 pelawat setakat 2021 hingga kini.

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/11/1326483/sasar-lonjak-sektor-ikan-hiasan-5-peratus-teroka-pasaran-baharu-di





Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

21-11-2024 07:34 PM GMT+8 , Processed in 0.212652 second(s), 12 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list