Georgetown: Jabatan Perikanan memberi jaminan bekalan ikan mencukupi di seluruh negara meskipun hasil tangkapan laut di perairan pantai timur semenanjung dijangka berkurangan sekitar 10 peratus sepanjang Monsun Timur Laut (MTL) yang diramal berterusan hingga Mac depan.
Ketua Pengarahnya, Datuk Adnan Hussain berkata kekurangan itu akan ditampung sektor akuakultur membabitkan aktiviti penternakan ikan marin seperti siakap, kerapu, bawal emas selain spesies ikan air tawar seperti keli, tilapia dan patin.
Katanya, kegiatan menangkap hasil laut masih berjalan seperti biasa di kawasan pantai barat di Pulau Pinang, Perak, Kedah dan Perlis dan tidak menolak kemungkinan bekalan ikan dari negeri berkenaan turut dibekalkan kepada pengguna di pantai timur bergantung kepada permintaan pasaran.
"Pengeluaran ikan marin di negara kita adalah sekitar 1.2 juta tan metrik setahun dan angka tersebut agak konsisten.
"Kalau ikut bilangan bot nelayan lebih banyak di pantai barat jadi kita jangkakan kekurangan itu lebih kurang 10 peratus daripada pengeluaran di pantai timur sebab sepanjang tempoh November hingga Mac dan sebenarnya angka itu tidak besar pada anggapan dan pemerhatian kita," katanya.
Adnan berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Peluncuran Wajah Baharu Akuarium Tunku Abdul Rahman (AkuaTAR) di Institut Penyelidikan Perikanan (IPP), Batu Maung dekat sini, hari ini.
Beliau berkata, pihaknya turut memantau bekalan ikan dalam negara dan persediaan dilakukan lebih awal sebelum peralihan monsun termasuk membabitkan agensi yang dipertanggungjawabkan mengawasi bekalan stok penimbal ikan bagi menampung kekurangan bekalan.
Adnan turut menasihati nelayan pantai mengutamakan keselamatan diri pada musim tengkujuh dan sentiasa mengikuti perkembangan maklumat semasa daripada Jabatan Meteorologi (METMalaysia) selain berusaha mencari sumber pendapatan alternatif sepanjang MTL.