Nibong Tebal: Tindakan lelaki yang menaiki sebuah pacuan empat roda dan mengisi minyak petrol RON95 ke dalam tangki tambahan membawa padah apabila dia ditahan penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang, di sini, malam tadi.
Pengarah KPDN negeri, S Jegan berkata, serbuan jam 9.15 malam ke atas sebuah stesen minyak itu dilaksanakan selepas hasil maklumat risikan pihaknya menghidu aktiviti penyelewengan bahan api bersubsidi berkenaan.
Katanya, seramai empat anggota penguat kuasa ke lokasi sebelum menemukan sebuah Toyota Hilux yang pemandunya sedang mengisi minyak yang disyaki petrol RON95 ke dalam tangki tambahan.
"Sehubungan itu, pemandu lelaki warga tempatan berusia 35 tahun ditahan dan kita turut membuat rampasan terhadap kenderaannya serta resit belian dan sebuah telefon bimbit untuk tindakan selanjutnya.
"Nilai rampasan minyak petrol adalah 750 liter dianggarkan bernilai RM1,537.50 menjadikan nilai anggaran barang rampasan keseluruhan berjumlah RM37,337.50," katanya.
Jelasnya, kes itu disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.
"Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM2 juta bagi kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM5 juta bagi kesalahan kedua untuk sesuatu pertubuhan perbadanan.
"Bagi orang perseorangan didenda tidak melebihi RM1 juta bagi kesalahan pertama atau penjara tidak melebihi tempoh selama tiga tahun atau kedua-duanya dan denda tidak melebihi RM3 juta bagi kesalahan kedua, atau penjara tidak melebihi tempoh selama lima tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.
Dalam pada itu, Jegan berkata, KPDN negeri sedang giat melakukan pengawasan dan rondaan sekitar Pulau Pinang bagi mengekang ketirisan aktivti penyeludupan barangan kawalan dan bersubsidi.