Langkawi: "Dalam 'radar' Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan tindakan akan diambil."
Demikian kata Pengarah Kanan Penguat Kuasa JPJ, Muhammad Kifli Ma Hassan ketika ditanya mengenai kewujudan lebih 1,000 kenderaan sewa tidak berlesen terutama kereta di Pulau Langkawi.
Muhammad Kifli berkata, pada masa sama pihaknya turut mengesan terdapat kereta persendirian digunakan untuk menjalankan aktiviti sewaan secara haram pada kadar harga yang murah.
"Mereka akan 'simpan' kenderaan ini di lokasi khas, selain meletakkan kenderaan sewa tanpa permit ini di ruang parkir berdekatan jeti dan lapangan terbang.
"Susulan itu, kami sudah mengenal pasti lebih 1,000 kenderaan yang terbabit dan menjalankan operasi untuk membanterasnya," katanya.
Menurutnya, JPJ sering menjalankan advokasi dan menasihati individu serta persatuan yang terbabit supaya memohon secara sah kerana ia akan membahayakan penyewa.
Katanya, kebanyakan pemilik kenderaan ini berdegil dan masih menjalankan perkhidmatan secara haram dengan menggunakan lesen kenderaan milik persendirian.
"Tindakan sewa kereta secara haram ini bukan saja melanggar undang-undang, malah menjejaskan ekonomi setempat.
"Terdapat pemilik kenderaan lain memohon permit menggunakan saluran yang betul dan ini tidak adil bagi mereka," katanya.
Susulan itu, katanya, JPJ akan menjalankan pemantauan secara berkala bagi membendung masalah ini.