Butterworth: Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) yakin dapat memenuhi permintaan air di negeri itu apabila akan memulakan operasi projek kedua Pelan Kontigensi Air 2030 (WCP2030) pada September ini.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, K Pathmanathan, berkata projek kedua itu membabitkan Pakej 12A di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua.
"Pakej 12A ini akan membolehkan PBAPP mengeluarkan tambahan 114 JLH (Juta Liter Sehari) air terawat untuk disalurkan di kawasan perkhidmatan LRA Sungai Dua, merangkumi beberapa kawasan di daerah Seberang Perai Selatan dan Barat Daya di bahagian pulau.
"Ia dijadualkan untuk pengoperasian pada September tahun ini," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.
Katanya, projek pertama WCP2030 membabitkan pembangunan loji pengapungan udara terlarut (DAF) di LRA Bukit Panchor yang menghasilkan sehingga 10 JLH air terawat tambahan untuk bekalan di Seberang Perai Selatan telah siap dan beroperasi pada Disember tahun lalu.
"Apabila selesai projek kedua September ini akan disusuli dengan projek ketiga dan keempat bermula pada November dan Disember tahun ini.
"Projek ketiga membabitkan pemasangan saluran paip sepanjang 13 kilometer (km) dari LRA Sungai Dua ke Butterworth manakala projek keempat akan menyaksikan pemasangan 3.9 km lagi saluran paip 1.8 m dari kawasan Macallum ke Bukit Dumbar di bahagian pulau.
"Dua projek ini dijangka beroperasi tahun depan yang mana ia akan mempertingkatkan dengan ketara kapasiti pengepaman air terawat PBAPP dari LRA Sungai Dua ke Daerah Barat Daya," katanya.
Pathmanathan berkata, kemajuan kerja projek WCP 2030 setakat ini mencerminkan komitmen PBAPP untuk membangunkan infrastruktur bekalan air baharu dan tambahan di Pulau Pinang.
"Dalam erti kata lain, PBAPP sibuk 'mengotakan apa yang dikatakan' dengan menunjukkan kemajuan Projek WCP 2030 terhadap permintaan air yang semakin meningkat dari 689,786 pengguna air di Pulau Pinang.
"Sehingga kini, PBAPP sudah melabur kira-kira RM51.52 juta untuk projek pertama dan kedua WCP 2030 serta Pelan Tindakan Seberang Perai Selatan pada 2023 dan 2024.
"Bagi projek ketiga dan keempat pula, ia akan membabitkan pelaburan tambahan sebanyak RM172 juta pada 2024 dan 2025," katanya.