GEORGE TOWN - Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Lembaga Racun Makhluk Perosak segera mengambil tindakan keras terhadap penjualan racun makhluk perosak haram di negara ini dan menguatkuasakan dengan tegas Akta Racun Perosak 1974.
Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, tinjauan dijalankan CAP selama bertahun-tahun menunjukkan racun makhluk perosak haram masih dijual secara terbuka di pasaran di Pulau Pinang dan Baling, Kedah.
Beliau berkata, racun makhluk perosak yang kebanyakan dari China tidak mendedahkan bahan kimia aktif yang terdapat pada label malah tidak mempunyai penerangan atau arahan mencukupi bagi pengendalian, penggunaan atau penyimpanan.
"Ini satu pelanggaran Kod Etika Antarabangsa mengenai Pengurusan Racun Makhluk Perosak dan Akta Racun Makhluk Perosak 1974.
"Racun makhluk perosak haram yang dijual di dalam negara diedarkan dari negeri di utara seperti Kedah, Pulau Pinang dan Kelantan atau diimport dari negara seperti Vietnam, China dan Thailand walaupun diharamkan di beberapa negara asal ini," katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohideen berkata, menurut Rangkaian Tindakan Racun Makhluk Perosak Asia dan Pasifik (PANAP) 2023 mendedahkan bahawa tiga penjualan Racun Makhluk Perosak Sangat Berbahaya (HHP) yang diharamkan di Malaysia iaitu paraquat, endosulfan dan profenophos dijual secara terbuka di platform e-dagang.
Minggu lepas, dua beradik Muhammad Akil Syauqi,3, dan Muhammad Luth Syauqi Nur Sufyan, 2, meninggal dunia selepas termakan keropok dipercayai mengandungi racun tikus di Kulim Kedah, manakala Mohd Daynail Haikal Alias,13, dimasukkan ke Hospital Kemaman, Terengganu akibat termakan biskut disyaki mengandungi racun yang diambil di pagar sebuah kebun.