SUNGAI BAKAP - Tidak mahu bersesak dan panas antara alasan tiga pengundi muda yang memilih untuk melaksanakan tanggungjawab mereka sebaik sahaja Pusat Mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Tasek Mutiara di sini dibuka pada pagi Sabtu.
Muhammad Afiq Ismail, 22, berkata, dia memilih untuk datang awal kerana tidak mahu bersesak dengan orang lain seperti yang pernah dialami pada hari pengundi pilihan raya negeri (PRN) tahun lalu.
"Datang awal, selesai awal dan boleh balik awal.
"Alhamdulillah proses pengundian berjalan lancar, cuma ambil masa lebih kurang 10 minit sahaja," katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini pada Sabtu.
Bagi Muhammad Hafizuddin Ramlee, 20, pula dia memilih untuk datang awal ke pusat pengundian berikutan perlu bekerja pada sebelah petang.
Dia yang kali kedua mengundi mengakui teruja untuk melaksanakan tanggungjawabnya bagi memilih wakil rakyat baharu untuk Sungai Bakap.
"Sat (sebentar) lagi kerja jam 1.30 petang, jadi saya pilih untuk datang awal mengundi pagi ini.
"Proses pengundian semuanya mudah dan lancar sahaja," katanya.
Turut berkongsi pengalaman Muhammad Aqil Ismail, 20, yang kali kedua mengundi dalam pilihan raya.
"Saja saya datang awal sebab tak nak berpanas.
"Lagipun bila sudah selesai tanggungjawab di sini pada sebelah pagi, banyak aktiviti lain boleh dibuat selepas ini," katanya.