Pendang: Penubuhan Pusat Kecemerlangan Industri (ICoE) Teknologi Motosikal Modenas dan Kawasaki di GiatMARA Pendang bakal memperkukuhkan lagi kualiti latihan kemahiran pelatih di pusat berkenaan dengan perkongsian teknologi terkini dalam bidang automotif.
Ketua Pengarah Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Sri Azhar Abdul Manaf berkata, inisiatif ini adalah selari dengan Dasar TVET Negara. MARA sentiasa proaktif memastikan landskap TVET terus berdaya saing.
Pembabitan secara langsung pihak industri dalam pelaksanaan program TVET MARA yang berfokus turut menjadi keutamaan kerajaan dalam usaha mengatasi isu ketidakpadanan (mismatch).
"Pada program hari ini dua bengkel pengkhususan teknologi motosikal Modenas dan Kawasaki dirasmikan dan Modenas menyerahkan tiga motosikal berkuasa tinggi, enjin motosikal untuk latihan dan Special Tools and Diagnostic (peralatan khas dan diagnostik) untuk kegunaan pelatih.
"Kerjasama yang lama terjalin ini sudah membuahkan hasil apabila seramai 10 lepasan pelatih Teknologi Motosikal GIATMARA dari seluruh negara bekerja dengan Modenas sebagai operator, technician maintenance (juruteknik penyelenggaraan) dan mekanik dengan gaji yang premium.
"Manakala, seramai dua tenaga pengajar GiatMARA juga menghadiri Kursus Trainee of Trainers di MODENAS sebagai peningkatan kemahiran untuk mengajar," katanya ketika berucap merasmikan majlis peluncuran pusat berkenaan di GIATMARA Pendang, di sini, baru-baru ini.
AZHAR (tiga dari kiri) melawat bengkel motosikal Kawasaki dan Modenas pada Majlis Peluncuran Pusat ICoE di GiatMARA Pendang
Beliau berkata, konsep Teaching Factory adalah pendekatan efektif untuk merapatkan jurang antara pendidikan dan dunia kerjaya, memastikan pelatih memiliki kemahiran relevan dan siap digunakan dalam industri.
Katanya, melalui pengalaman praktikal dan kejayaan dalam projek sebenar, pelatih berasa lebih yakin dengan kemahiran mereka dan lebih bermotivasi mencapai kejayaan dalam kerjaya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif GIATMARA Ahmad Hamdi Ibrahim berkata, selari dengan dasar Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) negara, pusat kecemerlangan itu akan melatih pelatih dengan modul terkini mengikut kehendak industri.
"Paling tidak pelatih yang akan keluar dapat bekerja di bengkel atau pusat selenggara kenderaan Modenas yang ada beratus di seluruh negara.
"Dengan itu pelatih kita akan mendapat gaji yang lebih premium dibandingkan dengan sijil biasa. Ini lah kelebihan kita seperti yang diharapkan kerajaan menerusi kerjasama industri," katanya ketika ditemui selepas majlis berkenaan.
Mengulas lanjut, Ahmad Hamdi berkata, setakat ini, pusat kecemerlangan itu bakal melahirkan 100 graduan dilengkapi kemahiran menyelenggara motosikal berkuasa tinggi.
"Bagi yang tidak menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) boleh mohon untuk belajar di GIATMARA tanpa kelayakan akademik, mereka boleh tingkatkan kemahiran di sini.
"Selepas Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) tahap tiga, mereka boleh pilih untuk bekerja, sambung belajar di sini hingga ke peringkat tertinggi atau MARA akan latih mereka untuk jadi usahawan," katanya.
Sementara itu, pelatih Muhammad Arif Najmi Mohd Faizal, 19, berkata dia sangat teruja melanjutkan SKM ke tahap tiga berikutan mempunyai minat mendalam dalam bidang berkenaan.
"Sistem enjin juga berbeza pada model motosikal, di sini, pihak GIATMARA sentiasa melatih kami dengan modul terkini, sekarang saya sudah boleh membaiki motosikal sendiri.
"Selepas tamat belajar di sini, saya bercadang untuk makan gaji terlebih dahulu untuk cari pengalaman, selepas itu saya akan buka bengkel sendiri," katanya yang berasal dari Jitra.
Bagi Amir Asyraff Adnan, 17, keputusannya untuk belajar kemahiran di GIATMARA pada usia 15 tahun pada mulanya kurang mendapat galakan daripada kedua orang tuanya.
Namun selepas melihat dia semakin mahir dalam bidang berkenaan, dia kini mendapat sokongan sepenuhnya daripada keluarga.
"Jika saya balik bercuti, rakan akan datang rumah untuk periksa dan baiki motosikal mereka. Di sini, saya sentiasa belajar dengan sistem dan model terkini di pasaran.
"Selepas tamat SKM tiga, saya akan timba pengalaman dahulu bekerja di mana-mana bengkel, kemudian saya akan buka bengkel sendiri nanti, " katanya yang berasal dari Manjung, Perak.