KUALA LUMPUR: Anak syarikat milik penuh Siab Holdings Bhd, Taghill Projects Sdn Bhd dianugerahkan projek pembinaan bernilai RM176.18 juta daripada Exsim Noordin Sdn Bhd.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, Siab berkata kontrak itu adalah untuk kerja-kerja bangunan utama dan infrastruktur bagi projek yang terletak di George Town, Pulau Pinang.
"Projek itu merangkumi pengubahsuaian dan penambahan tujuh unit bangunan warisan dua tingkat sedia ada dan penukaran aras atas dua unit bangunan warisan dua tingkat sedia ada di Jalan CY Choy daripada 'kediaman' kepada 'komersial'.
"Ia juga termasuk pembinaan bangunan pangsapuri servis 603 unit 29 tingkat termasuk kedai, tempat letak kereta dan kemudahan rekreasi," katanya.
Tambah Siab, projek itu dijangka siap dalam tempoh 30 bulan dari tarikh pemilikan tapak projek pada 1 Ogos 2024.
-BERNAMA