Alor Setar: Penggubalan undang-undang khusus perlu diperkenalkan selain undang-undang sedia ada diperkemaskan, agar seiring dengan perkembangan teknologi semasa bagi menangani jenayah penipuan dalam talian, titah Raja Muda Kedah Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin.
Baginda bertitah hukuman dan denda yang lebih tinggi haruslah dikenakan agar jenayah itu dapat dibanteras.
"Teknologi berkembang dengan pesat, selalunya undang-undang ketinggalan ke belakang sebab prosesnya lambat, kita nak gubal undang-undang mengenainya, akan ambil masa.
"Jadi undang-undang ini juga kena ikut dengan perkembangan teknologi supaya boleh keep up dengan teknologi, macam sekarang ada AI (teknologi kecerdasan buatan), jadi undang-undang pun kena up to date," titah baginda ketika ditemui pemberita selepas merasmikan majlis penutup Jelajah Anti-Scam Kebangsaan 2024 peringkat Kedah di sini hari ini.
Baginda bertitah undang-undang bersesuaian perlu digubal agar ia dapat dikuatkuasakan secara berkesan untuk menangani isu-isu yang timbul dalam penggunaan teknologi AI untuk jenayah penipuan dan scam.
Program Jelajah Anti-Scam Kebangsaan peringkat Kedah anjuran bersama CyberSecurity Malaysia dan CelcomDigi Bhd itu bertujuan berkongsi maklumat mengenai landskap ancaman siber yang semakin berkembang, modus operandi terkini scammer serta pencegahan.
Seramai 600 peserta terdiri daripada penjawat awam, pelajar institusi pengajian tinggi pensyarah, guru, belia, ibu bapa serta wakil komuniti hadir pada program selama dua hari yang bermula semalam itu.
Sementara itu dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini CyberSecurity Malaysia berkata Pusat Tindakbalas Insiden Siber-Cyber999 merekodkan 2,518 insiden keselamatan siber, dengan penipuan dalam talian merekodkan 1,646 insiden dari Januari hingga Mei tahun ini.
Statistik Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Polis Diraja Malaysia Bukit Aman pula merekodkan 13,134 kes jenayah dalam talian bagi tempoh sama dengan nilai kerugian mencecah lebih RM511 juta.