GEORGE TOWN - Insiden melibatkan seorang pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pulau Pinang yang
tertembak diri sendiri dalam kejadian pada 11 Jun lalu berlaku selepas mangsa ingin mencuba pistol jenis CZ tersebut.
Dalam kejadian itu, mangsa yang berusia 42 tahun telah cedera parah dan masih dirawat di Hospital Seberang Jaya (HSJ) di sini.
Dia bagaimanapun berada dalam keadaan sedar, stabil dan boleh berkomunikasi.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, polis telah merakam keterangan daripada mangsa pada 19 Jun lalu.
"Mengikut kepada keterangan mangsa, pada hari kejadian, dia telah meminta pistol milik rakannya untuk melihat dan mencuba senjata api tersebut. Mangsa ingin mengetahui fungsi pistol berkenaan.
"Bagaimanapun, dia tidak sengaja tertekan picu hingga menyebabkan dia tertembak diri sendiri," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang pada Rabu.
Hamzah menambah, polis turut merekod keterangan daripada tiga individu lain iaitu saksi (pemilik senjata), pegawai senjata dan seorang anggota kastam yang berada di lokasi kejadian.
Sebelum ini, media melaporkan bahawa polis telah mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian tertembak diri sendiri yang melibatkan seorang pegawai JKDM Pulau Pinang ketika menghadiri latihan menembak di jabatan tersebut di Seberang Jaya, kira-kira jam 9 pagi.