|
SCHEFFLER (kiri) bergambar bersama Nicklaus sambil memegang trofi kejuaraan Kejohanan Memorial. FOTO AFP
Dublin, Amerika Syarikat (AS): Pemain golf nombor satu dunia, Scottie Scheffler kekal tenang untuk memenangi Kejohanan Jelajah PGA Memorial di Ohio, awal pagi tadi, dengan kelebihan satu pukulan ke atas Collin Morikawa.
Scheffler melakukan dua atas par 74 di Muirfield Village untuk menamatkan saingan dengan lapan bawah par, untuk meraih kemenangan moral dalam persediaan menghadapi Terbuka AS di Pinehurst, North Carolina, minggu depan.
Pemain AS itu mendahului dengan kelebihan empat pukulan selepas pusingan ketiga pada Sabtu, tetapi diekori rapat prestasi cemerlang Morikawa.
Tetapi, di sebalik beberapa kesilapan termasuk tiga bogey dan hanya satu birdie, ketenangan Scheffler mengawal perasaan akhirnya membuahkan hasil.
"Agak menakjubkan," kata Scheffler selepas kemenangan itu.
"Saya rasa berdepan saingan sengit pada kejohanan ini. Ia adalah lokasi yang sukar dan anda boleh lihat situasinya hari ini. Lapangan golf ini sangat mencabar."
Ia adalah gelaran kelima Scheffler dalam Jelajah PGA musim ini, sejak semuanya bermula pada Mac.
Kejohanan dimenanginya termasuk acara berprestij seperti Masters, Players Championship dan tiga lagi acara lain dalam jelajah itu.
Scheffler kemudian menerima ucapan tahniah daripada legenda dan ikon golf, Jack Nicklaus selepas dia meninggalkan lubang ke-18 dengan kemenangan yang memastikan hadiah AS$4 juta (RM18.87 juta).
https://www.hmetro.com.my/arena/ ... an-kelima-tahun-ini |
|