LANGKAWI: Kira-kira 5,000 penduduk Pulau Tuba dan Pulau Dayang Bunting merayu kerajaan melalui agensi berkaitan menyelesaikan isu bekalan petrol yang terputus di dua pulau itu sejak sebulan lalu.
Penduduk Pulau Tuba, Norain Che Hamzah, 38, berkata ketiadaan bekalan petrol menyusahkan dan memberi tekanan kepada penduduk yang sebahagian besar bekerja sebagai nelayan pantai.
"Sejak sebulan lalu, kami perlu mengeluarkan belanja yang banyak termasuk tambang bot dan kereta sewa, selain membazir banyak masa semata-mata untuk membeli petrol di stesen minyak di Kuah.
"Kami kena bayar tambang bot dari Pulau Tuba ke Kuah sebanyak RM10, kemudian kena ambil kereta sewa RM10, jadi kos makin bertambah berkali ganda," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Katanya, kebanyakan penduduk adalah golongan berpendapatan rendah berharap isu ini dapat diselesaikan segera melalui penghantaran petrol secara berkala ke pulau berkenaan.
Bagi pengusaha van dan motor sewa di Pulau Tuba, Mohd Senapi Ishak, 66, berkata dia kini terpaksa berbelanja lebih untuk mendapatkan dua tong petrol dengan masing-masing diisi 12 liter (L) setiap hari sejak sebulan lalu.
"Harga petrol untuk dua tong plastik 12L sekitar RM100 dan saya terpaksa membayar upah RM10 kepada seorang penghantar yang tolong beli petrol di pekan Kuah bagi kegunaan van dan motor sewa yang saya usahakan di sini.
"Proses beli petrol di Pulau Tuba yang sepatutnya senang kini jadi susah, malah modal perniagaan jadi lebih besar, dan saya memang rasa terkilan tapi terpaksa juga beli petrol di Kuah untuk terus mencari rezeki," katanya.
Seorang nelayan, Ratu Mansor, 48, mengakui ketiadaan petrol telah menyukarkan sebahagian besar penduduk di Pulau Tuba dan Dayang Bunting untuk turun ke laut bagi mencari rezeki untuk menyara keluarga.
"Harapan kami agar kerajaan menerusi agensi berkaitan segera selesaikan isu ini demi menjaga kebajikan penduduk yang bekerja sebagai nelayan, selain pengusaha kereta dan motor sewa dapat beroperasi dengan lancar," katanya.
Sementara itu, Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) negeri, Muhammad Nizam Jamaludin, berkata pihaknya telah mengambil tindakan bagi menyelesaikan isu yang didakwa penduduk itu.
"Kita dalam proses akhir (menyiapkan dokumentasi), malah dalam keadaan bersedia untuk menyambung penghantaran bekalan petrol ke Pulau Tuba dan Insya-Allah ia akan selesai pada minggu hadapan," katanya ketika dihubungi.