|
BARISAN pemain JDT meraikan kejayaan menewaskan KL City 5-1 di Cheras kelmarin. - AMIR KHALID
PENGENDALI Johor Darul Ta’zim (JDT), Hector Bidoglio mengakui belum boleh mendabik dada selepas menyaksikan barisan pemain mempamerkan aksi lima bintang dengan menewaskan Kuala Lumpur City (KL City) 5-1 kelmarin.
Pada aksi Liga Super di Stadium Kuala Lumpur, Cheras, Harimau Selatan mempamerkan belang sebenar selepas meraih lima gol menerusi dua jaringan masing-masing hasil ledakan Fernando Forestieri dan Juan Muniz selain satu daripada Syahmi Safari.
Kata Bidoglio, apa yang dipamerkan oleh pasukannya hanyalah separuh daripada keupayaan sebenar dan masih banyak kerja rumah yang perlu diperbaiki bagi mengharungi saingan musim ini.
“Secara jujur, saya tidak pernah berpuas hati dengan prestasi semasa dan buat masa ini, saya baru menyaksikan 50 peratus keupayaan pasukan. Saya menuntut lebih lagi daripada barisan pemain.
“Falsafah JDT adalah pasukan sentiasa mencari ruang dan peluang untuk memperbaiki kelemahan yang ada,” katanya selepas tamat perlawanan.
Mengulas mengenai prestasi pasukan di atas padang, pengendali kelahiran Argentina itu percaya anak-anak buahnya berjaya menyerap tekanan tuan rumah pada babak pertama.
“Saya rasa kita telah pamerkan prestasi yang baik secara keseluruhan tetapi pada babak pertama, kita hanya mampu meraih dua gol meskipun berjaya mencipta banyak peluang keemasan.
“Prestasi lebih baik ditampilkan oleh pasukan pada separuh masa kedua apabila kita berjaya menambah tiga gol,” katanya.
Kemenangan yang diraih menyaksikan JDT kekal mendahului carta Liga Super dengan sembilan mata sekali gus meneruskan momentum sempurnah pada awal saingan musim ini.
https://www.kosmo.com.my/2024/05 ... puas-jdt-pesta-gol/ |
|