|
Penyerang Real Madrid, Joselu meraikan gol kemenangan 2-1 ke atas Bayern Munich pada separuh akhir kedua Liga Juara-Juara di Stadium Santiago Bernabeu, Madrid awal pagi tadi. – Foto REUTERS
MADRID: Penyerang Real Madrid, Joselu bagaikan bermimpi apabila dua gol lewatnya membantu kemenangan 2-1 ke atas Bayern Munich awal pagi tadi sekali gus membawa pasukannya ke final Liga Juara-Juara.
Pemain berusia 34 tahun itu yang beraksi dengan banyak kelab berbeza, tampil sebagai pemain gantian ketika Bayern mendahului dan meledak selepas minit ke-88 dan 91 untuk memastikan kelab dengan rekod juara 14 kali Madrid mara 4-3 secara agregat.
"Mimpi paling indah yang saya pernah alami tidak sebesar apa yang berlaku hari ini," kata Joselu kepada Real Madrid TV.
"Saya tidak tahu mengenai wira, tetapi saya terlalu gembira... ia luar biasa, sesuatu yang mengagumkan.
"Pasukan ini tidak pernah berputus asa, dalam darah mereka mengalir perjuangan hingga ke titisan terakhir dan itulah yang kami lakukan."
Penyerang Real Madrid, Joselu (kanan) mengatasi penjaga gol Bayern Munich, Manuel Neuer bagi gol penyamaan ketika separuh akhir kedua Liga Juara-Juara di Stadium Santiago Bernabeu, Madrid awal pagi tadi. – Foto AFP
Bekas penyerang Stoke City dan Newcastle United itu beraksi secara pinjaman di Real Madrid dari kelab divisyen dua Espanyol.
Jurulatih Madrid, Carlo Ancelotti bergantung harap kepadanya terutama dari bangku simpanan, tetapi penyerang itu sudah meledak 16 gol dalam semua pertandingan musim ini.
Jaringan penyamaannya hadir selepas penjaga gol Bayern Munich, Manuel Neuer gagal menangkap kemas percubaan Vinicius Junior.
"Gol pertama mengenai kepintaran, mereka keletihan dan anda boleh lihatnya," kata Joselu.
Penyerang itu berdepan saat gemuruh menunggu sebelum gol keduanya disahkan selepas sebelumnya bendera dinaikkan kerana ofsaid.
"Saya terfikir janganlah batalkannya," katanya.
"Saya berdoa dan meminta siapa saja di luar sana jangan batalkan gol itu." – AFP
https://www.bharian.com.my/sukan ... -sebesar-ini-joselu |
|