KUCHING: Seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat dua sebuah bangunan di Siniawan, Bau, semalam.
Ketua Polis Daerah Bau DSP Jawai Francis Kempas ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima panggilan daripada Bahagian Kecemasan Hospital Bau mengenai kejadian tersebut sekitar jam 2.20 petang Ahad (14 April 2024).
Menurutnya, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Hospital Bau.
“Hasil siasatan polis mendapati ibu mangsa yang merupakan warga Indonesia telah membawa mangsa ke tempat kerja suaminya di tapak pembinaan di Siniawan sekitar jam 8.30 pagi Ahad.
“Ibu mangsa tidak menyedari mangsa terjatuh semasa membantu suaminya bekerja,” ujar beliau.
Susulan itu katanya, jenazah mangsa telah dibawa ke Hospital Umum Sarawak untuk tindakan selanjutnya.
“Siasatan awal yang dilakukan juga mendapati tiada unsur jenayah dikesan dalam insiden terbabit.
“Sementara itu, siasatan lanjut berhubung kes ini akan diteruskan bagi mengetahui punca kematian mangsa,” jelas Jawai.
Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).
|