CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 7924|Reply: 0

[Sarawak] Premier serah kepada pakar berhubung cadangan gubal RUU bolehkan kerajaan tadbir hingga akhir penggal

[Copy link]
Post time 17-1-2024 01:09 PM | Show all posts |Read mode


Abang Johari bercakap pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat MKT PBB di Kuching, hari ini. - Gambar Roystein Emmor

KUCHING: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyerahkan kepada pakar perlembagaan berhubung cadangan penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) bagi membolehkan kerajaan mentadbir dan bertahan hingga akhir penggal.

Beliau berkata, ini kerana kebebasan untuk memilih kerajaan termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Saya tidak tahu sangat latar belakang sama ada RUU itu boleh dilaksanakan atau tidak, saya serah kepada pakar dalam perundangan kerana dalam perlembagaan kita juga ada kebebasan untuk memilih.

"Bermakna kita tidak boleh menggunakan paksaan tetapi kita boleh menggunakan beberapa peraturan untuk memantau keadaan politik kerana demokrasi adalah berasaskan kepada kebebasan untuk memilih,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Sabtu, agar satu undang-undang khusus digubal bagi membolehkan kerajaan yang dibentuk selepas Pilihan Raya Umum (PRU), mentadbir dan bertahan hingga akhir penggalnya.

Menurut Ahmad Zahid, jika undang-undang itu diperkenalkan, kerajaan akan dapat memfokus mentadbir negara sekali gus mengelak sebarang ganggu gugat politik yang tidak berkesudahan.

Abang Johari menegaskan GPS tetap dengan pendirian berkehendakkan kestabilan di peringkat nasional.

"Saya tidak boleh komen lebih kerana yang GPS mahu hanyalah kestabilan politik peringkat nasional.

"Kurangkanlah langkah-langkah. Ini ada Langkah Dubai lah, Langkah London lah. (Sebaliknya) kita tumpukanlah kepada usaha untuk memulihkan ekonomi,” ujar pengerusi GPS itu.

Terdahulu Abang Johari yang juga presiden PBB berkata, parti itu akan memainkan peranan untuk membantu kestabilan politik di peringkat nasional.

Katanya, ia selaras dengan harapan PBB khasnya GPS agar politik di peringkat persekutuan terus stabil.

“Sebagai rakan dalam Kerajaan Perpaduan, kita akan memberi input kita dan berharap pendekatan politik kita lebih rasional lagi untuk memastikan Malaysia stabil dan kita dapat membangunkan seluruh negara kita,” katanya.

Hadir sama Timbalan Premier Sarawak merangkap Timbalan Presiden PBB Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Naib Presiden Kanan PBB yang juga Timbalan Perdana Menteri Dato Sri Fadillah Yusof dan Setiausaha Agung PBB yang juga Menteri Kerja Raya Dato Sri Alexander Nanta Linggi.


Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

21-5-2024 03:56 PM GMT+8 , Processed in 0.109304 second(s), 27 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list