CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 21144|Reply: 0

[Sarawak] Chieng gesa PTPTN nilai semula kelayakan terima insentif bayaran balik Yayasan Sarawak

[Copy link]
Post time 10-1-2024 10:05 PM | Show all posts |Read mode


Chieng ketika ditemui pada sidang media di Pusat Khidmat SUPP Bukit Assek, hari ini.

SIBU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek Joseph Chieng Jin Ek menggesa Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) untuk menilai semula kelayakan yang diperlukan bagi peminjam yang layak menerima insentif bayaran balik pinjaman Yayasan Sarawak PTPTN.

Menurutnya, beliau telah menerima aduan daripada seorang graduan yang telah menyelesaikan 45 peratus pinjamannya, namun telah dikecualikan daripada insentif tersebut.

Katanya, beliau kemudian melawat pejabat PTPTN Sibu pada Selasa dan dimaklumkan oleh Pengurus Cawangan PTPTN Cawangan UTC Sibu Nurulhuda Abdul Wahid bahawa peminjam perlu menyelesaikan 30 peratus daripada pinjaman untuk layak menerima insentif tersebut.

"Namun jika mereka membayar dalam tempoh 12 bulan selepas menyelesaikan pengajian mereka, ia tidak akan diambil kira kerana PTPTN hanya mengira pinjaman yang dibayar dari bulan ke-13 ke atas.

"Jadi nampaknya dia telah membayar jumlah itu terlalu awal daripada tarikh yang sepatutnya," ujarnya pada sidang media di Pusat Khidmat SUPP Bukit Assek, hari ini.

Chieng menegaskan, ini tidak adil kepada graduan tersebut dan di Sibu sahaja, beliau difahamkan terdapat dua kes yang sama.

"Ini menunjukkan dia adalah pembayar yang bertanggungjawab, sebaliknya berbanding mendapat insentif bayaran balik, dia telah 'dihukum' dengan dikecualikan kelayakannya.

"Tindakan menyelesaikan pinjaman sepatutnya digalakkan dan tidak sebaliknya seperti yang berlaku kepada pelajar ini," katanya.

Chieng memberitahu mungkin ada lebih ramai graduan yang menghadapi isu sama, oleh itu ia akan menjejaskan niat kerajaan negeri untuk membantu mereka melalui inisiatif tersebut.

"Saya akan membawa perkara ini kepada perhatian Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan PTPTN, berharap kriteria untuk insentif itu akan dinilai semula," tegasnya.

Di bawah insentif itu, kerajaan negeri menerusi Yayasan Sarawak akan mensubsidi 30 peratus baki pinjaman pengajian PTPTN graduan Sarawak.

PTPTN akan mengenal pasti penerima manfaat yang telah berjaya menyelesaikan pengajian mereka dan membuat bayaran 30 peratus ke atas kepada PTPTN.

Chieng juga memetik kata Pengerusi PTPTN Datuk Norliza Abdul Rahim yang menyatakan lebih 3,000 graduan Sarawak telah mendapat manfaat daripada insentif berjumlah RM12.43 juta pada tahun 2023.

Sejak dimulakan pada tahun 2019, lebih 25,000 graduan Sarawak telah menjadi penerima manfaat untuk insentif tersebut yang berjumlah RM90.42 juta.


Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

18-5-2024 10:03 AM GMT+8 , Processed in 0.060512 second(s), 26 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list