KUALA TERENGGANU: Enam sekeluarga termasuk pasangan warga emas, masih berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) sejak Selasa lalu selepas ruang tamu kediaman mereka di Kampung Mengabang Telong, Batu Rakit, di sini, runtuh dipukul ombak.
Mustapa Ibrahim, 81, dan isteri, Hamidah Hassan, 68, bersama anak, Hamimah Mustapa, 41, serta tiga cucu berusia antara 10 hingga 17 tahun, belum dibenarkan pulang berikutan fenomena air pasang besar masih berlaku.
Timbalan Pengarah Bahagian Pengurusan Bencana Operasi (BPBO), Mejar (PA) Mohd Hafiz Asikin, berkata keluarga itu diminta terus berada di PPS Dewan Serbaguna Taman Perumahan Wakaf Tengah, Kuala Nerus.
"Kita hanya akan membenarkan Mustapa dan keluarganya pulang ke kediaman selepas cuaca, termasuk fenomena air pasang dan ombak besar, pulih sepenuhnya.
"Walaupun keluarga itu meminta kebenaran untuk pulang ke rumah, kita berpendapat keadaan ombak dan fenomena air pasang berserta angin kencang masih berlaku, justeru mereka dibenarkan terus berada di PPS," katanya ketika dihubungi.
Mereka adalah satu-satunya keluarga masih berlindung di PPS berkenaan. PPS Dewan Serbaguna Taman Perumahan Wakaf Tengah juga adalah satu-satunya PPS masih diaktifkan di Kuala Nerus, setakat jam 8 malam tadi.