|
Pelakon, Ikmal Amry mendedahkan dia terpaksa melawan perasaan malu atas dasar minat terhadap bidang lakonan.
Pemilik nama sebenar, Mohd Zulikmal Amry Ghazali, 29, berkata, keadaan seperti itu sedikit sebanyak memberi kesan ketika menjayakan babak apabila tangannya berpeluh, jantung berdegup laju dan gemuruh.
Katanya, dia adalah seorang yang pendiam dan 'introvert' namun terpaksa melawan perkara itu demi terus berada dalam industri.
"Saya cabar diri melakukan perkara yang saya tak suka. Walaupun sedar saya 'introvert', tapi saya tetap lawan untuk mendapatkan hasil atau kepuasan.
"Saya perlu teruskan untuk dapat gaji bagi meneruskan hidup. Kalau saya tak buat kerja sebagai pelakon atau model, apa lagi yang saya mahu buat? Bagaimana untuk sara keluarga?
"Ini juga bidang pekerjaan yang saya ceburi dan menjadi tanggungjawab saya untuk meneruskannya," katanya.
Mengulas lanjut, pelakon filem Pulau ini berkata, sekiranya ada sidang media yang memerlukan untuk berada atas pentas dan berhadapan dengan orang ramai, dia akan gementar.
"Saya ada ketakutan untuk berada atas pentas. Saya takut kalau perlu pegang mikrofon untuk bercakap depan orang ramai atau buat perkara yang tak pernah dilakukan.
"Tapi, bila sudah jumpa dan kenal dengan orang, itu tiada masalah dan saya selesa. Kalau dahulu, saya tak boleh dan memang akan berpeluh kalau berdepan dengan situasi seperti ini.
"Namun, selepas berkongsi dengan pelakon lain yang mempunyai masalah sama, saya banyak belajar cara untuk mengatasinya," katanya.
Ditanya kesukaran melawan perasaan takut, Ikmal berkata, ia sangat memenatkan terutama dari segi mental sehingga perlu mengambil masa lama untuk kembali aktif.
"Sampai satu tahap, saya rasa sudah tidak boleh berlakon. Ini kerana saya turut berdepan beberapa masalah lain.
"Kalau terjadi seperti itu, saya akan ambil langkah untuk diamkan diri dan berehat panjang daripada berlakon.
"Saya tak mahu paksa diri sebab kalau buat juga, ia akan jadi perkara sia-sia. Perkara ini masih berlaku sampai sekarang.
"Jadi, saya akan cuba perlahan-lahan bangkit dengan luangkan masa dengan keluarga atau balik kampung," katanya.
Sumber: BH Online
|
|