|
Bekas pengacara sensasi, Nadia Annuar meluahkan rasa kesal apabila ramai pihak mula menjaja cerita mengenai kehidupan peribadinya, lebih lagi selepas memaklumkan sudah bercerai bersama usahawan Hafiz Salleh.
Menerusi hantaran di Instagram miliknya, kakak kepada pelakon Harris Annuar ini putus harapan terhadap masyarakat yang sentiasa berprasangka buruk terhadap kisah orang lain.
Nadia juga mempersoalkan sama ada keputusannya untuk berdiam diri daripada mendedahkan aib rumah tangga kepada umum salah di mata orang ramai.
"Saya menyerah diri. Saya berputus asa untuk mengharapkan yang terbaik dengan masyarakat. Apabila saya enggan menceritakan kisah saya, orang lain mula membuat andaian sendiri.
"Apabila saya dipaksa untuk menceritakan sedikit kisah saya, orang menghukum. Suatu hari nanti, saya akan bercerita. Buat masa sekarang, teruskan ketawa, mereka cerita tentang kehidupan saya.
"'Nadia duduk rumah kecil lepas cerai, tak ada job sekarang, padan muka dia, tak dapat hak penjagaan dua-dua anak, mesti dialah yang jahat, kena cerai sebab itu ini'.
"Inilah masalah masyarakat kita, bila cerita dijaja maka seronok anda bercakap. Bila tak diceritakan, pandai-pandai buat bahan sendiri.
"Salahkah saya menjaga aib kami? Berdosakan kami pada anda sekiranya kami tidak bercerita?," tulisnya.
Terdahulu, nama Nadia menjadi bualan hangat apabila mengambil keputusan untuk tidak lagi bertudung ketika meraikan ulang tahun kelahiran yang ke-39 tahun.
Sekadar info, Nadia pernah berkahwin dengan Sulaiman @ Mohd Helmi Mohd Ilyasdi namun bercerai pada Oktober 2010 sebelum berkahwin dengan bekas suami keduanya ini.
Sumber: Xtra |
|