|
Kota Kinabalu: Lelaki parah selepas terjatuh dari tingkat dua ke atas bumbung sebuah bangunan di Jalan Sulaman, di sini, hari ini.
Mangsa berusia 22 tahun yang patah di bahagian pinggang dan kaki kanan kemudian dikejarkan ke hospital untuk rawatan lanjut.
ANGGOTA bomba membantu mangsa yang terjatuh dari tingkat dua ke atas bumbung sebuah bangunan di Jalan Sulaman, Kota Kinabalu. FOTO Ihsan Bomba
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu, Ordine Gilu berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian jam 10.34 pagi.
"Sebaik tiba, terdapat seorang lelaki terjatuh dari tingkat dua ke atas bumbung parkir di bangunan berkenaan.
"Tindakan pasukan bomba mengambil mangsa dengan menggunakan tali dan 'Junkin Strecher' lalu menaikkan mangsa ke tingkat satu bangunan," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, mangsa diberi rawatan awal oleh pasukan EMRS dan mendapati mangsa patah di pinggang dan kaki kanan.
"Mangsa seterusnya dibawa turun dan diserahkan ke pihak ambulans untuk dihantar ke hospital rawatan lanjut," katanya.
Sumber: Harian Metro |
|