CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 345|Reply: 0

[Kelantan] Haikal setia di sisi nenek lumpuh

[Copy link]
Post time 27-7-2023 09:21 AM | Show all posts |Read mode

MOHAMMAD Hairis Haikal kini tinggal berdua dengan neneknya, Moreena yang lumpuh kiri badan akibat angin ahmar. FOTO Ihsan FB IRDK Services

Kota Bharu: Menyedihkan namun realitinya, Moreena Mohamed yang lumpuh sebelah kiri badan akibat angin ahmar hanya tinggal berdua dengan cucunya, Mohammad Hairis Haikal Abdullah.

Lebih memilukan, Mohammad Hairis Haikal, 11, pernah menyorong neneknya dari Kok Lanas ke Kampung Batu 8, Jalan Kuala Krai, di sini menggunakan kerusi roda rosak kerana tidak mampu membayar sewa rumah.

Moreena, 59, sebelum ini mencari rezeki sebagai pengutip besi buruk selepas kematian suami namun tidak dapat bekerja akibat menghidap angin ahmar sejak Ramadan lalu.

Kini, Moreena dan Mohammad Hairis Haikal menumpang teduh di rumah ibu tirinya di Kampung Kampung Batu 8, Jalan Kuala Krai, di sini.

Berkongsi perihal mereka, Siti Meriam Mohd Zin, 54, berkata, dia dan Moreena adalah adik beradik sebapa.

Menurutnya, dia dan kakaknya itu hanya bertemu selepas bapa mereka sudah meninggal dunia.

Katanya, Mohammad Hairis Haikal pula adalah cucu saudaranya dan sudah dibesarkan kakaknya itu sejak bayi lagi.

"Setahu saya, kakak ada tiga anak cuma tidak pasti ke mana mereka pergi.

"Cucunya itu pula tidak pernah melihat bapanya sejak kecil dan ibunya pula sudah membina kehidupan dengan keluarga baru.

"Jadi, tinggal mereka berdua saja di rumah. Ikutkan, rumah didiami mereka itu adalah rumah arwah emak saya namun kami adik beradik beri kakak tinggal di situ sehari sebelum Aidiladha lalu selepas dia kehilangan tempat berteduh," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Siti Meriam berkata, Mohammad Hairis Haikal kini tidak dapat bersekolah kerana tidak mampu dan tiada siapa yang boleh menjaga neneknya di rumah.

"Rumah saya dan mereka tidak jauh jadi dapatlah membantu serta jenguk mereka apabila ada masa.

"Bab makanan dan keperluan asas pula, kami adik beradik sepakat membantu setakat mana yang termampu.

"Cuma, jujurnya saya bukan orang senang dan kerana itu hanya dapat menolong apa adanya saja walaupun niat di hati mahu bantu lebih lagi," katanya.

Siti Meriam berkata, selepas kisah kakak dan cucu saudaranya dikongsikan laman Facebook (Fb) IRDK Services hingga tular, ada beberapa pihak datang menziarahi kedua-duanya di rumah.

"Ramai yang datang sejak kisah mereka tular dan hari ini, kami terima kunjungan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Masjid Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) dan pertubuhan bukan kerajaan.

"Moga ada sinar buat kakak dan cucu saudara saya. Diharap ada bantuan bulanan yang boleh meringankan beban kerana mereka sangat memerlukannya," katanya.

Orang ramai yang berhasrat membantu Moreena dan cucunya boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Islam bernombor 03036020502405 atas nama Siti Meriam Mohd Zin atau menghubunginya di talian 014-509 0240.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... i-sisi-nenek-lumpuh

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT


Forum Hot Topic

 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

16-5-2024 06:54 AM GMT+8 , Processed in 0.354402 second(s), 27 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list